16 Mei 2008

Pintu Peristiwa

jika kau menerima musibah yang berat mahupun yang tidak kelihatan atau kedengaran oleh sesiapa, gembirakanlah hatimu kerana ada jawapan ketika ditanyakan detik kau menghadapinya dengan tabah dan menjadikannya pengajaran atau muhasabah terhadap peristiwa masa lalu yang mengubahmu jauh daripada yang maha benar. saat tidak pernah mengubahmu kecuali suatu keinsafan, gembirakanlah hatimu andai ketenangan telah datang di segala ketika dan ruang, kerana halamu tiada bezanya dengan yang lain iaitu sebuah pintu kebenaran dan rahmat Tuhan.

Keajaiban Sebuah Naluri


jika pada suatu ketika kau mengingati seseorang yang akrab, atau yang jauh tetapi dekat dalam fikiran, atau yang dekat tetapi apakah kau juga berada dalam fikirannya, gembirakanlah hatimu kerana kau tetap bahagia menempatkan ruang dirimu terhadapnya walaupun tiada yang memberitahu keajaiban sebuah naluri pertembungan fikir sedang dan akan terjadi. gembirakanlah juga hatimu andai tidak pernah ada di hati sesiapa juga, hingga suatu ketika ada yang amat merasakan sebuah kewujudan berbanding ketiadaan yang abadi.

Menghulur Insan


jika kau didatangi seseorang yang meminta bantuan belas, gembirakanlah hatimu kerana ada beban yang telah berkurang dipikulnya. walaupun tidak kau kenali mereka siapa. saat kau menghulur ihsan pejamkanlah matamu, agar tidak tinggal sedikit pun peristiwa kau alami sebentar tadi selain sebuah doa kelapangan, sama ada padamu atau pada orang yang datang kepadamu itu. gembirakanlah hatimu kerana peristiwa itu mungkin terjadi kepadamu tanpa mengharapkan apa-apa suatu ketika kau tidak memandangnya sekarang.

Gelut Kehidupan


jika kau telah mencapai punca terhadap apa yang bergelut di danau kehidupan mudamu, gembirakanlah hatimu kerana tidak akan habis buah fikir, atau jarak langkah, atau tanda faham terhadap situasi dialami zahir mahupun tidak. kau akan dilapangkan oleh terbentangnya padang pandangan, saujana lautan telaah, bahkan keindahan cakerawala yang mematangkan kedewasaan insan. gembirakanlah hatimu saat waktunya kau memelihara kebenaran yang kau yakini benar sepanjang ia benar.

Kejayaan


jika kau telah melalui kejayaan terhadap sesuatu dalam perjalanan hidup gembirakanlah hatimu, kerana itu adalah kebahagiaan yang dianugerahi Tuhan dalam adunan usaha fikir, batin serta zahir bernaung di bawah ikatan ukhwah persahabatan yang alir fikirnya sama sehala. ikatan yang kuat adalah asas kemajuan dan kejayaan. gembirakanlah hatimu kerana jalan-jalan yang panjang akan terus berada di hadapan untuk kau memacu semangat kentalmu melakukan apa yang kau fikirkan menyatu di dalam niat dan fikiranmu.

Luka

jika hatimu dilukai, gembirakanlah hatimu. kau akan melihat sebuah perjalanan yang tidak selesai. kau akan lebih waspada ketika meneruskan perjalanan daripada berhadapan dengan kedegilan insan lain. kau harus mengawal kedegilan secara waras, menenteramkan gelora apimu, lebih baik merenjiskannya dengan bening kematangan. saat berhadapan wajah yang tidak dapat kau bentuk lagi, gembirakan hatimu, kerana kau akan berada lebih di atas yang mengangkatmu dengan nilai murni kedewasaan.

Usikan Kalbu


jika kau berkata dengan diri sendiri, gembirakan hatimu, kerana kau telah menyelamatkannya dari mendengar bisikan yang belum terucap. kau tidak juga dapat memalingkan kepada sesiapa ketika jendela dengarmu terkunci. kau malah sembunyikan wajah suara di sebalik hijab sepi. meski tidak juga kau jumpai apa-apa selain kepekatannya di situ. kau seperti di alam yang lain, bergelumang dengan lautan sunyi, bagai demikianlah abadi. gembirakanlah hatimu jika masih kau mendengar sapaan selain usikan kalbumu itu, walaupun bukan dirimu, tapi dirinya.

Perjuangan

jika kau gagal dalam sesebuah perjuangan, gembirakanlah hatimu kerana tidak selamanya kau berjuang untuk gagal atau untuk menang. ketika kau menang dadamu naik ke atas tanda bangga. kau tidak dapat sembunyikan makna kegembiraan itu. kau seolah terbang jauh ke alam riang tanpa menyedari suatu hari kau akan menjejak bumi nyata lantaran terjadinya putaran kehidupan. kau ingin selamanya menang kerana ada waktunya kau enggan menerima kegagalan. saat itu kau cari kesalahan insan lain. tapi sayang itu akan membawamu lebih jauh lagi daripada menerima harga sebenar perjuangan. gembirakanlah hatimu jika betapapun usahamu mencuba tewas, kerana perjuangan tidak pernah dihentikan oleh kemenangan semata-mata. sebaliknya kegagalan adalah kemenangan bagi yang menyedari kesilapan dengan redha untuk muhasabah.

Masa Lalu


jika sukar keluar dari belukar masa lalu, gembirakanlah hatimu kerana masa lalu telah abadi, lebur mewarnai peribadi. kau telah dianugerahi masa lampau yang mendasar. usia berlalu memberimu laluan yang terus berliku, persis tanya juga sentiasa bertandang dan kau ingin sekali pulang sebagai dulu dalam urat tanda melingkar dalam rimbunan flora fikir. kau kian beralur menyerah arah delta yang jauh, mengurut letih di bawah cahaya. gembirakanlah hatimu, betapapun sulit berbelit mengukur umur kerana semakin kau temui makna cari impianmu semakin dalam akar masa lalu dibesarkan kebenarannya.

Anak-Anak

jika anak-anak bersama, gembirakanlah hatimu kerana mereka mewarnai kehidupan dan menghidupkan kebahagiaan. kau membentuk mereka dengan acuanmu sendiri. kasih sayang dan perhatian. kau sentiasa mendengar segala impian. suka dan duka mereka hanya kau memahami. betapa hatimu tersentuh mendengar derita mereka, diperbudak orang lain yang tidak berhak. dan jika anak-anak jauh dari sisi, gembirakan juga hatimu kerana mereka telah membesar dan memiliki kehidupan sendiri, berhadapan kemungkinan-kemungkinan di luar jangkaan masa lampaumu. di manapun beradanya mereka sentiasa memegang tali taat, memahami fitrah yang bertandang pada waktunya kelak.

Sebalik Kekhilapan


jika khilap dalam perbuatan, gembirakanlah hatimu, kerana pada saatnya kau menyedari telah menemui pengalaman di sebalik kekhilapan itu. kau akan melihat dengan pengalaman bukan mematuhi hala rasa yang merugikan selepasnya. kau berada di atas segala faham yang tidak pernah terbongkar. walaupun kau mencarinya, bertanya dalam diam atau berfikir dalam sapa. kau menerimanya tanpa jelas. kau meraba-raba dalam rimba kekhilapan yang tidak dipinta sengaja disedari. gembirakanlah hatimu apabila kau memejamkan mata, tafakur memandang keajaiban peristiwa di sebalik makna perbuatan masa lalu yang menjadi cahaya pedoman perjalanan kemudian.

Gemilang Muhasabah


jika kau bahagia gembirakanlah hatimu kerana bahagia yang hakiki adalah anugerah Ilahi yang tidak pernah kau ceritakan. kau merasa bahagia apabila rahsia semakin berada di dasar dalam kalbumu yang tersimpan gemilang muhasabah. kau merasa bahagia apabila kedukaan menjadikan kematangan kian dewasa meneguhkan akar rasa. kau berusaha menjadi kuat dengan dukungan kebahagiaan. gembirakanlah hatimu saat air mata menghantar percakapan dalam yang tidak diungkapkan.

Celaru

jika fikiranmu celaru, gembirakanlah hatimu kerana kau akan mencari di mana silapnya. apakah ada kebenaran atau kebimbangan telah semakin jelas? kau semakin resah kerana tiada suara yang sampai ke dalam akal orang-orang yang bestari. kau tidak akan berduka jika jalan di hadapan tak pernah dikenal pintu yang harus dibuka. kau tidak faham bagaimana pintu itu tercipta. kau memandang cahaya tetapi hanya bulan yang datang pada musimnya. kau memandang laut yang tidak pernah henti diriuhi gelora dan ia terus terjadi dalam hidup. gembirakanlah hatimu jika fikiran celaru kerana hanya pengalaman yang akan kenal erti damai dan tenang. kembali kepada kebenaran yang datang meskipun terlalu kemudian.

Uzlah


jika kau memilih diam gembirakanlah hatimu, kerana diam itu uzlah. kau telah kembali kepada diri dan peribadi. kau akan menemukan akar dan punca segala perkara. kau telah merenung jauh ke dalam dan bertemu kegelapan yang akan tersingkap terang cahaya. kau tidak akan kembali memandang belakang kerana sejarah tidak akan berulang. kau akan faham jika kau merasakan dunia ini hanya pentas yang sementara. gembirakanlah hatimu kerana hidup lebih membahagiakan sewaktu diammu memberimu jati diri yang sebenar.

Bait Terhujung

- kepada AM

tidak lagi terjelma bait-bait baru setelah kutemuipetunjuk titikku. bait-bait yang terdahulu rupanyacuma peristiwa mengisi kehidupan sementara,ketika tidak lagi tersapa inti rahsia hanya cerminmenghias kamar didiami hukuman-hukuman lampau. di hujung bait ini telah direnjis wangi mawar dan abadi lebur di udara, apakah ada angkasa yang sesasa rahsia melepaskan sayap-sayap jelita? agarsegar anggur dan manis air yang mengalir menanti saat berangkat akan tiba. terimalah bait terakhir ini dengan titik maha titiknya. kututup kitab segala peristiwa dibawa bersama jernih doa.