13 Mei 2008

Prakata


DENGAN penuh rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala dan rasa rendah diri saya persembahkan koleksi puisi ‘Lebur yang Abadi’ ini buat tatapan para pembaca. Memang benar bahawa tanpa wujud anjakan serta nawaitu yang sungguh-sungguh, sesuatu yang diimpikan tidak mungkin menjadi kenyataan. Saya dengan sengaja menggabungkan sejumlah 114 buah puisi daripada sejumlah besar puisi-puisi yang saya tulis untuk bacaan penggemar sastera Melayu. Permintaan saya tidak besar, jestru agar persiapan saya menulis puisi-puisi kerohanian ini berhasil menjadi tatapan penggemar sambil menerimanya dengan baik.

Saya sentiasa belajar daripada pengalaman masalalu dan malah pengalaman yang bakal tiba. Daripada kritikan kedua orang tua yang amat saya sayangi tentang kehidupan ini, terus belajar daripada itu dan juga panduan oleh para guru saya sama ada dalam bentuk akademik mahupun langsung kepada bakat penulisan yang saya punyai. Begitu juga para sahabat handai yang dekat, mengakrabi kehidupan mereka. Saya sering membaca tanda-tanda sebuah kehidupan yang saya alami dan saya percaya pengalaman itu dialami juga oleh orang lain. Pengalaman yang sama tapi tidak serupa ini barangkali boleh dikongsikan nikmat dan hikmahnya. Bezanya tentu sahaja kerana saya bercerita melalui puisi yang langgamnya bersifat peribadi, namun ada juga yang memerlukan jangkauan lebih mendalam dan memerlukan bacaan lebih lanjut.

Puisi harus sentiasa hidup dalam kehidupan. Setiap detik dan hari ada bicara bungkam yang lahir dalam kehidupan. Pelayaran hidup yang diragami suka dan duka disertai hiruk pikuk peristiwa sentiasa memberikan makna yang istimewa. Dengan bersederhana dalam kehidupan, beruzlah dan menqiami diam yang bermakna, menziarahi kedamaian yang dicari, membesarkan sebuah cinta Maha Agung, bermujahadah dan bermuhasabah menjadikan kita pasrah, patuh, tunduk, sedar betapa kerdilnya kita di sisi Yang Maha Esa. Meski ia bersifat fitrah dan lumrah bagi insan yang beriman, tetapi kepada insan lain pengalaman batin seperti ini memberi kias serta panduan yang terbaik untuk mentarbiah diri agar menjadi insan yang kamil. Kerana itu juga koleksi puisi ‘Lebur yang Abadi’ ini mengajak pembaca merenung dan menilai keberadaan seorang hamba dalam kehidupannya.

Akhirnya, saya ingin memberikan rasa penghargaan kepada guru-guru saya sama ada secara formal mahu pun tidak formal seperti ayahanda Dato’ Kemala, Haji Johar Buang, Haji Mohd Ariffin Arif dan Suhaimi Haji Muhammad yang sering saya jadikan idola dalam menzahirkan puisi-puisi kerohanian.

HASYUDA ABADI
Pustaka Iqbal Nazim
Kota Kinabalu, Sabah.
8 Rabiulawal 1429H