Oleh: Dr. Abdul Halim Ali dan Norwai Haji Kata, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Dalam kajian ini pengkaji memberi fokus
kepada objektif kajian yang bertujuan
untuk mengenalpasti aspek stail dalam Kumpulan Puisi ‘kembali di Lahad Rahsia`
dan menganalisis kesepaduannya pemikiran penyair dan perutusan agama. Sebelum
hasil analisis dibincangkan dijelaskan terlebih dahulu serba sedikit
tentang diri penyair yang dikaji iaitu Hasyuda Abadi.
Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya Sukor Usin mula berkarya sejak akhir tahun 1970-an masih aktif hingga kini. Selain pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah, beliau pernah juga memenangi Hadiah Sastera Perdana. Oleh itu puisi berunsur Islam tidak asing lagi bagi Hasyuda kerana beliau pernah beberapa kali memenangi Sayembara Penulisan Puisi berunsur Islam anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah Dan Jabatan Agama Islam Sabah. Beliau juga pernah dianugerahkan sebagai ‘Tokoh Penyair Islam Sabah’. Dalam menganalisis puisi ini, pengkaji akan cuba meneliti kesepaduan keindahan bahasa dan pemikiran (stail) dengan perkaitannya perutusan agama seperti mana yang terkandung dalam Teori Estetika Bersepadu.
Kesepaduan Stail Dengan Pemikiran
Berdasarkan teori Estetika Bersepadu, kesepaduan gaya bahasa dengan pemikiran
penyair disebut sebagai `stail`. Stail merujuk kepada gaya yang terisi dengan
pemikiran yang bermakna. Gaya dihadirkan penyair tidak hanya bertujuan yang
meninggalkan kesan estetika luaran tetapi yang lebih utama adalah meninggalkan kesan
estetika dalam bentuk pemikiran. Pemikiran yang bermakna menurut A. Halim Ali
(2010) adalah pemikiran yang mengesankan kebaikan dan bersepadu dengan
perutusan agama.
Hasil penelitian ke atas puisi-puisi
dalam kumpulan puisi “Kembali di Lahad Rahsia” (2008) karya Hasyuda Abadi,
terdapat enam jenis unsur gaya bahasa yang dikenal pasti banyak dan kerap
digunakan iaitu unsur metafora, perlambangan, hiperbola, anaphora, pengulangan
dan alusi. Penggunaan unsur bahasa ini dapat dikesan mempunyai kesepaduan
dengan pemikiran penyair. Analisis yang dilakukan mendapati terdapat tiga inti
pemikiran utama penyair yang ingin disampaikan iaitu pemikiran tentang
memperingati masa dan kematian, kasih sayang terhadap keluarga dan hakikat
cinta.
Kesepaduan Stail dengan Perutusan Tentang
Mengingati Masa dan Kematian
Stail kepenyairan Hasyuda Abadi banyak terletak pada gaya pengulangan. Penggunaan gaya pengulangan memberi bayangan bahawa penyair ingin menyampaikan sesuatu secara berkesan, apatah lagi perkara yang ingin disampaikan berkait dengan persoalan masa dan kematian. Penggunaan unsur pengulangan dapat dilihat dalam sajak `Pernahkah kau menangis` (Hasyuda Abadi,2008:4). Dalam sajak ini unsur pengulangan hadir dalam bentuk pengulangan perkataan dan pengulangan baris. Pengulangan perkataan yang digunakan ialah `pernahkan` yang dibawa dalam bentuk kata tanya. Manakala pengulangan baris `pernahkah kau menangis diulang beberapas kali pada baris 1, 3,7 dan 9. Lihat contoh petikan sajak di bawah:
pernahkah kau menangis
apabila
malam beringsut tiba
pernahkah kau menangis
ketika terdengar derap senja
semakin menjelma dan gumam
pernahkah
kau menangis
dan hanya sunyi menyapa
ke dalamnya
pernahkah kau menangis
waktu membilang usia yang berbaki
dan tidak lagi angka tetapi gelisah
pernahkah kau menangis
apabila malam beringsut tiba (b.1-2)
Tatkala malam tiba penyair seolah-olah ingin
tahu dari sudut hatinya atau pembaca tentang ruang malam yang disediakan Tuhan
kepada manusia. Malam disebutkan dalam al-Quran sebagai teempat untuk berehat
sepertimana yang tersebut dalam Surah al-Naba’:9-11:
Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk
berehat?Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang
melindungi)? Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa
untuk mencari rezeki?"
(Surah al-Naba’ 9-11)
Malam juga selain untuk berehat, menenangkan
diri dari kesibukan di siang hari, Allah menyebut dalam surah al-Muzzammil ayat
6 yang maksudnya;
`Sesungguhnya ibadah pada saat-saat waktu
malam itu lebih kuat kesannya ke atas jiwa dan lebih lurus bacaan kita (lebih
kusyuk)`
Dari ayat-ayat yang dibawakan di atas,
menunjukkan bahawa waktu siang dan malam itu mempunyai fungsinya yang
tersendiri. Waktu siang itu digunakan untuk melaksanakan pekerjaan dan tugas
kita masing-masing. Manakala waktu malam itu, menurut al-Quran, ia digunakan
untuk dua perkara; untuk tidur berehat dan untuk beribadah. Maka sepatutnya
beginilah pembahagian masa bagi seorang Muslim itu. Justeru, setiap datangnya
waktu malam itu, penyair ingin tahu, apakah manusia pernah berasa sedih atau
penyesalan setelah meninggalkan siang dengan sia-sia. Jelasnya soalan pernahkah
kau menangis itu membawa suatu persoalan yang lebih besar kepada diri manusia
iaitu tentang ruang waktu untuk menyesali diri dengan soal taubat dan tahajjud.
Penyair
membawa kepada pembaca masa atau waktu
malam sebagai `tempat` untuk pembaca
ingat dan sedar tentang siang waktu yang ditinggalkan dan waktu malam sebagai
tempat untuk menumpahkan penyesalan. Bukan masa malam sahaja yang ditanyakan,
malah penyair juga menanyakan tentang masa senja dan masa tua dengan masa yang
sedikit berbaki sepertimana baris-baris sajak di bawah;
pernahkah
kau menangis
ketika
terdengar derap senja
semakin menjelma dan gumam
pernahkah kau menangis
saat terbuka saja pintu
dan hanya sunyi menyapa
ke dalamnya
pernahkah kau menangis
waktu membilang usia yang berbaki
dan tidak lagi angka tetapi gelisah
Dalam sudut estetik bahasa, unsur
gaya bahasa pengulangan pada awal setiap baris (anafora) iaitu ‘pernahkah kau
menangis’ dapat menyegarkan lagi makna kepada pembaca. Ayat ini diulang sebanya
empat kali. Penyair memberi peringatan melalui pengulangan seperti ini ialah
untuk memberi peringatan kepada pembaca, sahabatnya atau sesiapa sahaja yang
dimaksudkannya membaca puisi ini tentang kesedihan yang bakal manusia alami.
Unsur bahasa pengulangan itu merupakan penegasan kepada pembaca agar dapat
mengingati pesanan yang disuarakan. Kata ‘menangis’ di situ membawa gambaran
tentang kesedihan. Penyair memilih untuk membuat pertanyaan,’pernahkah kau menangis’ dan rasanya
bagaimanakah agaknya jika tidak pernah menangis tentang perubahan waktu yang
terlalu cepat berlalu.
Dari sudut Estetika Bersepadu,
penggunaan unsur bahasa tidak dihadirkan dengan sa-sia atau untuk menikmati
estetika gaya semata-mata, tetapi bersepadu erat dengan inti pemikiran penyair
itu sendiri. Penggunaan unsur pengulangan dalam puisi `Pernahkah kau
menangis` jelas membuktikan terdapat kesepaduan unsur pengulangan tersebut
dengan pemikiran penyiar tentang pentingnya mengingati masa, baik yang
dinisbahkan kepada waktu malam dan siang atau masa yang berbaki di kala manusia
sampai usia tua.
Gambaran yang dapat ditunjukkan dalam
analisis ini adalah estetika gaya pengulangan hadir dalam sajak dan berposisi
estetika yang lengkap melengkapi dengan pemikiran penyair dan juga perutusan
yang disampaikan kepada pembaca. Stail bukan sahaja mendukung aspek gaya dalam
maksud formalnya tertapi juga terisi dengan pemikiran yang
bermakna. Gaya dihadirkan Hasyuda Abadi tidak hanya bertujuan yang meninggalkan
kesan estetika luaran iaitu unsur pengulangan` tetapi yang lebih utama adalah
meninggalkan kesan estetika dalam bentuk pemikiran dan perutusan kepada
pembaca.
Hamidah Abdul Hamid(1995)menyatakan bahawa karya-karya seni menggunakan lambang-lambang untuk menyampaikan makna dan maksud tertentu. Lambang-lambang yang diterapkan dalam karya seni boleh meningkatkan mutu karya tersebut atau menjejaskan nilai karya berkenaan. Beliau memberikan contoh penggunaan lambang dalam karya puisi dan karya prosa umpamanya ‘merpati putih’ membawa makna perdamaian,’bulan sabit yang berpasangan dengan bintang di dalam lukisan pelukis Islam melaambangkan agama Islam,manakala ‘kerusi’ yang digunakan dalam drama ‘kerusi’ karya Hatta Azad Khan melambangkan kekuasaan. Oleh itu jelaslah di sini bahawa peranan lambang dalam sesebuah karya itu membawa pengertian dan simbolik pemikiran seseorang pengkarya.
Selepas itu ada ungkapan ‘malam
menjelma’ yang boleh ditakrifkan sebagai pengakhiran usia. Apatah lagi
penyair kreatif membuat pemilihan kata melalui gaya bahasa personifikasi dalam
rangkap 1 baris 8 iaitu ‘dan hanya sunyi
menyapa’. Pembaca akan membayangkan suasana kekosongan atau kata lain
pengakhiran usia. Unsur-unsur perlambangan seperti ‘malam’, ‘pintu’ amat
berkesan bagi menggambarkan pengakhiran usia.
Namun demikian, penyair mengigatkan dalam rangkap ke-2 seperti berikut :
menangislah ketika disebut
nama Tuhan
yang menjadikan
yang memelihara
yang mengubah
yang menghilangkan
kerana kita terlalu lama ketawa.
Dalam rangkap ke-2 ini pula, penyair mengubah strategi penulisannya daripada pertanyaan kepada seruan untuk menangis. Lihat setiap baris dalam rangkap di atas kata pengulangan ‘menangislah ketika disebut/nama tuhan/yang menjadikan/yang memelihara/yang mengubah/yang menghilangkan/kerana kita terlalu lama ketawa. Dalam rangkap itu, penyair jelas memberi peringatan dan penegasan kepada pembaca untuk memelihara kehidupan beragama. Dalam rangkap pertama penyair memulakan pertanyaan, manakala rangkap ke-2, penyair berseru dan mengajak agar menangis ketika disebut nama Tuhan dan mengajak pembaca agar sentiasa memelihara amalan beragama kerana Tuhan sebagai perancang terbaik samada membahagiakan atau menamatkan riwayat umat manusia yang sentiasa mengalami kenikmatan dunia. Kata ‘yang’ merupakan kata sendi diulang sebanyak tiga kali untuk memberi penegasan terhadap kalimat yang disuarakan yakni tentang kekuasaan Tuhan yang menjadikan/yang memelihara/yang mengubah/yang menghilangkan. Jelas sekali kata ‘yang’ digunakan untuk memberi penegasa bahawa penyair ingin mengingatkan kepada pembaca bahawa kekuasaan Tuhan melebihi segala-galanya yang ada di muka bumi ini.
Kata ‘ketawa’
membawa maksud gembira dan mengalami kenikmatan luar biasa di dunia ini.
Justeru itu, penyair membawa pemikiran agar manusia mentaati masa dalam
melaksanakan tanggugjawab beragama kerana waktu dan usia seiring bergerak dan
terlalu cepat berlalu. Jika diabaikan,maka terlalu lewat bagi umat manusia untuk
menyesal.
Perutusan yang disampaikan penyair dalam puisi
ini sejajar dengan gesaan Allah seperti yang difirmankan dalam al-Quran( Surah Al-Asr :103:1-103:3 ) bermaksud:
“Demi
masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian,kecuali orang-orang
yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat mensihati supaya menetapi
kesabaran.
Puisi lain dalam kumpulan ini yang menyuarakan
pemikiran tentang masa dan kematian ialah,’Usia : Kutemui dalam Lebur
Mawaddahku’(ms:50, ’Usia’(ms:7),’Ramli di mana kini’(ms:31), ‘Kembali di Lahad
Rahsia’(ms:38) ‘Nafas yang Tak Setia’(ms:12), dan ’Menjelang Keberangkatan’
(ms: 38)
Demikian juga dalam puisi ‘Nazak’ penyair mencetuskan pemikiran tentang usia di ambang akhir. Penyair menyuarakan pemikiran melalui kiasan bahasa puisi walaupun ringkas tetapi padat dengan pengajaran.
Waktu ku ditusuk pisau kematian ku
memanggil kejernihan yang ditakluk dingin
kumesrai hampirmu tanpa berjejak lagi pada
ruang tak dapat diukur jaraknya,ku diramahi
perbualan pertama yang belum lagi ada
jawabnya, kusepikan apa juga soalan kalian,
tidak terbongkar leburan hitam yang bertakhta,
kalbuku riuh tanpa siapa membantu, ini titikku
yang hanya Dia yang tahu bukan aku atau kau.
Penyair membayangkan kematian yang semakin hampir namun akur akan kematian itu menjadi rahsia Tuhan. Tidak ada sesiapa yang tahu akan tarikh dan masa kematian walaupun sedang berhadapan dengan kesulitan umpamanya nazak. Dalam rangkap 1, baris 1 penyair memilih gaya metafora iaitu ‘pisau kematian’ yang menggambarkan sakitnya sebuah kematian. Pisau secara nyatanya sejenis benda tajam dan menyebabkan tubuh terluka dan kesakitan. Namun dalam puisi ini pisau adalah sebagai lambang yang dikaitkan dengan kematian. Oleh itu jika ‘pisau kematian’ (gaya bahasa metafora)alangkah sakitnya jika seseorang pembaca membayangkannya. Ungkapan bahasa kiasan ‘kumesrai hampirmu’ dalam baris ke-3 bermaksud redha akan kematian yang menjemputnya. Manakala unsur gaya bahasa hiperbola ‘kalbuku riuh’ baris ke-8 menggambarkan kegelisahan yang melanda seseorang ketika nazak. Penyair menyatakan bahawa tidak ada sesiapa yang dapat membantu kecuali Allah SWT mengikut amalan seseorang manusia. Pemilihan metafora dan hiperbola ini menunjukkan penyair berusaha memberi gambaran melalui kias banding tentang seseorang yang menamatkan usianya. Walaupun penggunaan hiperbola itu sebagai ungkapan yang berlebihan dan dianggap gangguan dalam pemilihan bahasanya, tetapi ia digunakan untuk memancing perhatian pembaca tentang kegelisahan di saat menghadapi kematian.
Pemikiran yang dicetuskan oleh penyair tentang
pemikiran seiiring dengan perutusan dalam al-Quran surah Ar-Rahman ayat 26-27
yang menjelaskan dengan maksud “bahawa
semua yang ada di bumi akan binasa(mati/meninggal dunia),baik manusia,haiwan
tumbuhan,mahu pun yang lainnya. Namun Allah maha besar tetap kekal”.
Kesepaduan Stail dan Perutusan dengan Kasih
Sayang Terhadap keluarga
Terdapat beberapa puisi Hasyuda Abadi
memanfaatkan pemikiran tentang kasih sayang terhadap keluarga. Dalam Teori
Estetika Bersepadu iaitu kesepaduan stail dan perkaitannya dengan perutusan
kebenaran didapati gaya bahasa dan pemikiran(stail)memang ada kaitannya dengan
perutusan agama serta realiti kehidupan . Kebenaran dalam konteks Estetika
Bersepadu ialah kebenaran berpandukan keterangan al-Quran serta hadis,dan
kebenaran yang berpandukan realiti kehidupan. Puisi lain yang terkandung dalam
buku ini yang membawa pemikiran yang sama ialah ‘Melihat
Cermin’(ms:15),’Anak-Anak’(ms:118).
Terapan dan analisis ini dilakukan ke atas
beberapa buah puisi Hasyuda dalam puisi yang berjudul ‘Sebagai Ayah Entah Apakah yang Pernah Dihargai Anak’ mukasurat 40, yang membawa pemikiran tentang kasih
sayang terhadap anak-anak. Dalam puisi ini penyair menceritakan kasih sayangnya
terhadap anak-anak sejak kecil hingga dewasa. Penyair menggunakan unsur bahasa
pengulangan iaitu setiap rangkap mengulang setiap ungkapan persoalannya di
setiap baris pertama yang berbunyi ‘Setiap
ayah entah apakah yang pernah dihargai,anak’.
Penyair
menjelaskan, menjaga anak-anak dengan rasa kasih sayang walaupun susah payahnya
tidak diketahui anak, namun perjuangan menjaga anak-anak dengan rasa kasih
sayang sehingga matang adalah satu tanggungjawab. Gaya bahasa pengulangan,
personifikasi,metafora dan hiperbola menjadi pilihan penyair dalam mengolah
puisi ini dapat menyerlahkan pemikiran tentang kasih sayangnya terhadap
anak-anak perempuannya. Cetusan rasa penyair dapat dilihat dalam rangkap ketiga
seperti ini :
menyalur halus kasih sayang biar apa pun yang harus
datang dan menghalang,malang atau walang,derita atau
ria suka bahkan menyimpan rahsia peribadi,memahami
raung ruang remaja,mengerti malah erti cinta biarpun
cuma anak-anak hingusan yang baru membesar
didewasakan bacaan atau tontonan zaman
Penyair dengan jelas menyuarakan erti kasih
sayang seorang ayah terhadaap anak remajanya dan dikuatkan lagi dengan unsur
metafora ‘tontonan zaman’ yang membawa makna cabaran zaman semasa. Intipati
pemikiran penyair dapat dilihat dalam perutusan al-Quran sepertimana dalam firman Allah SWT :
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu(berhala);neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar(layanannya);mereka yang menderhaka kepada Allah terhadap segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka,dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkannya.” (Surah al-Tahrim 66:6)
Justeru itu menjaga anak dan memberi kasih
sayang kepada mereka merupakan tanggungjawab yang wajib walaupun berat. Dalam
mejaga anak, ibu bapa juga wajib memberikan anak-anak hak perlindungan,
memberikan pendidikan dan kasih sayang. Jawiah Dakir(2019) menyatakan walau
sibuk sekalipun seorang seorang ibu atau bapa, walau seramai mana pun anak-anak
mereka,ibu bapa perlu menunjukkan kasih sayang terhadap anak mereka ketika
kecil. Kewajipan itu termasuk juga memberikan nafkah oleh bapa sebagai ketua
kelarga. Manakala Rahimah Abdul Hamid(2015) berpandangan sensitiviti dan
kreativiti seseorang pengarang untuk berkarya ada kaitan langsung dengan
psikologi-estetik di mana penyair atau pengarang mendapat ilham dari jiwa
sebenar. Dalam erti kata lain pengalaman sebenar pengrang yang bersuara dalam
bentuk karya sastera adalah lebih terasa kesannya kepada pembaca.
Dalam puisi lain, penyair juga meluahkan kasih
sayangnya terhadap seorang ibu tercinta melalui puisi berjudul ‘’Mengunyah
Jadam’ mukasurat 84. Penyair meluahkan akan kesabaran bondanya dalam
mengharungi kehidupan bersama anak-anak. Seseorang ibu sanggup mengharungi kepayahan
kehidupan dan inilah yang dirakamkan penyair yang tahu akan derita sengsara
seorang ibu demi keluarganya seperti dalam rangkap pertama(b.1-2);
Tega meriwayat hayat segala rasa
Gaya bahasa metafora yang ditimbulkan dalam
puisi ini dapat menonjolkan makna keperitan hidup,yakni seorang ibu yang
dimaksudkannya dalam mengharungi kelangsungan hidup.Muhammad Haji
Salleh(2014)berpendapat bahawa dalam pencarian makna,antara yang ditemui adalah
beberapa keserupaan,kesamaan,pertindihan,dan keselarian di antara hal yang
berlaku dalam alam dan pada diri manusia secara peribadi atau kelompok.
Sehubungan itu, penyair juga menyuarakan makna berdasarkan pengalaman hidup
yang ada persamaannya dengan sehingga dapat membuat kiasan dalam puisinya.
Penyair yang merupakan seorang anak amat terkesan akan kepayahan ini dan
memberi kata-kata rangsangan seperti dalam puisi rangkap ke-3 (b.4-8) yang
berbunyi:
wangi bunga-bunga
aku pulang memulangkan kepercayaan
membebat duka dan perih pedihmu
yang tak berkesudahan (b.4-8)
Unsur gaya bahasa personifikasi dalam rangkap
puisi di atas iaitu’ rama-rama menyapa wangi bunga-bunga’ menggambarkan indah
dan mulianya perjuangan dan kasih sayang seorang ibu. Namun demikian penyair
memberi jaminan kepada ibunya untuk membantu membahagiakan seorang ibu yang
dikasihinya seperti dalam unsur gaya bahasa metafora iaitu ‘membebat duka dan
perih pedihmu’. Dalam puisi ini juga pengkaji dapat mengesan bahawa penyair
mengemukakan pemikiran akan kecaknaan seorang anak yang berjauhan dengan
ibunya. Seorang anak sanggup pulang, walau sesibuk manapun untuk membantu
ibunya atau sekurang-kurangnya merawat kerinduan seorang ibu. Di sinilah
pembaca dapat melihat dan menilai akan betapa pentingnya kecaknaan seseorang
anak dalam aspek memberi kasih sayang terhadap ibu, menghilangkan kesepian
mereka dengan perhatian dan bantuan yang sewajarnya. Cetusan pemikiran penyair
dalam puisi ini ada kaitannya dengan perutusan kebenaran dan realiti kehidupan.
Oleh itu, Islam menentukan kewajipan anak
terhadap ibu bapa mereka.Abu Umamah meriwayatkan hadis yang cukup bermakna
untuk diambil iktibar iaitu yang bermaksud: “seseorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW,apakah hak kedua-dua
ibu bapa terhadap anaknya? Bagind menjawab: Kedua-dua mereka adalah syurga dan
neraka kamu.” (sumber : Ibn majah,Sunan
Ibn Majah,Kitab al-Adab Bab Birr al-Walidayn,no.3653)
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan Tuhanmu memerintahkan kamu supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara kedua-duanya sampai umur lanjut dalam pemeliharaanmu,maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perbuatan yang mulia.” (Surah al-Isra’ 17:23)
Oleh itu menjaga hati ibu bapa termasuk adab menghormati dan menjaga kebajikan adalah sangat dituntut dalam Islam. Menurut Muhammad Haji Salleh(2000),karya-karya sastera mengajar kita menghormati orang lain, menghargai budi baik,mengasihi orang tua dan juga mengingatkan tentang keburukan menderhakan. Di sinilah kejayaan penyair untuk mengemukakan pemikiran tentang kasih sayang terhadap keluarga iaitu kasih sayang kepada anak-anak termasuk juga ibu bapa yang merupakan keharmonian bagi setiap keluarga yang mengamalkannya. Keharmonian sesebuah keluarga dapat membantu keharmonian masyarakat dan juga negara.
Kesepaduan Stail dengan Perutusan Tentang
Hakikat Cinta
Dalam puisi ‘Harum Rindu’(ms:60), penyair
menunjukkan rasa cintanya kepada maha pencipta iaitu Allah SWT. Penyair
menceritakan tentang kesedaran dirinya untuk beriman kepada Allah,menjaga
segala amalan yang diperintahkan,memelihara nafsu dan perkara-perkara yang
dilarang.Sidek baba(2015)menyatakan cinta Allah dan cinta Rasulullah SAW harus
difahami dan dihayati melalui amalan dan contoh teladan. Hal ini bukan hanya
bersifat ritual semata-mata tetapi terlihat pada amal dan perbuatan,iaitu
apabila kita kembali kepada Allah dan rasulullah SAW melalui pedoman al-Qur’an
dan hadith. Sehubungan itu,mesej yang sama terdapat dalam kandungan puisi ini
yang berkaitan tentang hakikat cinta kepada Allah. Penyair menyebutkan;
hangat menakluk dingin
semarak gerak batin
mengikat kalbu mengimani rindu
mula kumembuka rahman
Yang kubaca saban malam.(b.1-6)
Penggunaan unsur hiperbola ‘menghampar nafasmu’ dan mengikat kalbu mengimani rindu’ menunjukkan penyair ingin memberitahu dengan sungguh-sungguh akan keinginannya untuk mendapat keredhaan dan kasih sayang daripada Allah SWT. Penyair ingin menyampaikan pemikirannya tentang betapa pentingnya manusia untuk menelaah kembali ayat-ayat suci al-Quran yang menjadi pedoman terhadap kehidupan manusia.
memelihara nafasmutaman ayu mengharum
segera kupulang ke ruang
menghafal ajaran kebenaran
berlabuh memintal suluh (b.9-13)
Penyair juga menunjukkan pemikirannya untuk mengajak pembaca agar menghargai nikmat dunia yang diberikan dan agar mentaati ajaran kebenaran sebagai penyuluh hidup di dunia dan di akhirat. Penggunaan unsur hiperbola ‘memelihara nafasmu’ tidak menjejaskan maksud sebaliknya menunjukkan rasa syukur penyair akan nikmat nafas yang dipinjamkan oleh Allah SWT kepadanya,manakala ‘berlabuh memintal suluh’ menunjukkan ajaran kebenaran merupakan suluh kehidupan.
Dalam al-Quran Surah An-Nissa ayat 69 yang
bermaksud :
“Dan
barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul(Muhammad)maka mereka itu akan
bersama-sama dengan orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah,iaitu para
nabi,para pencinta kebenaran,orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang
soleh.Mereka itulah teman sebaik-baiknya.”
Manakala puisi ‘Sukma Malam’(ms:46) juga
menyampaikan rasa cinta kepada pencipta(Allah SWT) dalam bait-bait berikut;
ini,tak ada garis mengulang ungkap
menyampaikan rahsia yang Engkau
ketahui;terlalu saujana kurnia ini,ya Rabb,
hingga akalku hanya memiliki rasa syukur
dan insaf (b.1-6)
Sekali lagi,penyair ingin menyampaikan rasa bersyukurnya terhadap sebarang kurniaan yang telah dikecapi. Malah rasa insaf itu diucapkannya kerana merasakan tidak ternilai nikmat yang telah dimiliki dengan penggunaan unsur bahasa metafora yang dapat menjelmakan makna, cetusan pemikiran sekaligus keindahan dalaman puisi ini. Ciri-ciri keindahan menurut pandangan V.I. Braginsky(1994) melalui bukunya Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik ialah keindahan dalaman, isi, keindahan alam fizikal, keindahan fenomena, keindahan dalaman(menyempurnakan akal dengan faedahnya), keindahan luaran(apa yang dirasa oleh deria lihat dan deria dengar manusia yang hanya dapat menghibur lara), keindahan mutlak dan keindahan rohani. Oleh itu ciri-ciri puisi ini dapat menjelmakan keindahan kerana mengandungi kata-kata islamisasi yang jelas.
RUMUSAN
Berdasarkan analisis terhadap puisi-puisi yang
terhimpun dalam “Kembali di Lahad Rahsia”, terdapat tiga inti pemikiran penyair
yang ingin disampaikan kepada pembaca iaitu peringatan tentang masa dan
kematian, kasih sayang terhadap keluarga dan hakikat cinta kepada Allah. Dalam analisis tersebut mendapati kesepaduan
unsur bahasa metafora,personifikasi, hiperbola, anaphora dan alusi dapat
menguatkan makna setiap bait puisi dan menyerapkan perutusan serta pemikiran
penyair.
Gaya pengulangan dan imej yang dibawa oleh
penyair merupakan suatu penegasan makna. Pembaca dapat merasakan emosi penyair
dengan menghadirkan diksi Islami yang tepat di samping unsur bahasa yang
menggambarkan sesuatu peristiwa. Penggunaan gaya bahasa hiperbola bukanlah
tujuan untuk berlebih-lebihan dalam berbahasa tetapi ia dihadirkan oleh penyair
sebagai memancing perhatian terhadap apa yang disampaikan.
Kekuatan penyair, Hasyuda Abadi bukan hanya
pada kreativitinya sebagai penyair semata tetapi, penghayatan pengalaman dan
tugas dakwah yang beliau laksanakan, Amalan ini membuktikan estetik kepenyairan
Hasyuda kerana beliau bukan setakat menyuarakan pemikiran semata tetapi apa
yang diucapkannya melalui puisi adalah realiti dilakukannya. Pegangan penyair
seumpama ini boleh diikuti oleh pembaca kerana puisi-puisi Hasyuda Abadi adalah
gambaran diri dan sikapnya terhadap pemikiran yang disampaikan.Secara tidak
langsung penyair memanfaatkan ilmu serta amalan keagamaannya sehingga dapat
melontarkan pemikiran yang indah dan berkesan kepada pembaca. Latar belakang penyair
sebagai pengasas Baaitul-Muqaddam dan memberi sumbangan terhadap aktiviti
keagamaan merupakan bukti perjuangan beliau dalam mengembangkan syiar agama dan
ia selari dengan pemikiran yang disampaikan.
Justeru itu,kata pengulangan dan hiperbola
yang banyak digunakan oleh penyair dalam setiap puisi yang terkandung dalam
‘Kembali di Lahad Rahsia merupakan penegasan peringatan terhadap apa yang
disuarakan umpamanya dalam memberi pesan agar manusia insaf akan
usia,kematian,kekeluargaan dan rasa insaf dan bersyukur akan nikmat yang
diberikan oleh Allah SWT. Di sinilah berlakunya teks sastera yang dapat
mendidik pembaca melalui gaya pengucapan yang indah dan dapat menjelmakan makna
pemikiran yang bersesuaian dengan perutusan kebenaran. Unsur bahasa yang bersepadu
dengan makna yang indah akan memancarkan pemikiran dan perutusan yang berguna
kepada pembaca.
Rujukan:
Abdul
Halim Ali.(2010) ‘Konsep Estetika Bersepadu : Terapan dan analisis
Terhadap karya puisi Ahmad kamal Abdullah’.
Tesis Ijazah Doktor Falsafah
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Abdul
Halim Ali.(2018). Sorotan Perkembangan Genre Puisi Moden Di Sabah
Hasyuda
Abadi.(2008). Kembali di Lahad Rahsia : Kumpulan Puisi. Kota Kinabalu.
Iris Publishing and Distribution.