Tajuk Puisi: Mula
Yang Berhenti
Aku harap tiada henti yang bermula
Tiada riuh yang bungkam
Tiada bunyi yang diam
Tiada damai yang dendam
Tiada tenang yang suram
Tiada selesa yang gumam
Tiada suka yang muram
Tiada mimpi yang lena
Tiada tawa yang tangis
Tiada jawab yang tanya
Tiada hampa yang budi
Tiada bicara yang bisu
Tiada pandang yang buta
Tiada gopoh yang sabar
Aku harap tiada mula yang berhenti
Sumber : ‘Kembali
Di Lahad Rahsia’ 2008, Pejabat Perhubungan ADUN N.24 Membakut, Sabah
Membaca sajak-sajak
Hasyuda Abadi membawa perasaan pembaca kepada penulisan yang memberi kesedaran
atau peringatan kepada diri penulis sendiri. Penulis secara tidak langsung
membawa pembaca untuk sama-sama mengambil peringatan. Seperti sajak Mula Yang
Berhenti di atas, merupakan satu peringatan dalam bentuk penegasan yang diatur
pembendaharaan katanya dengan indah sekali. Teknik pengulangan ini memberi
penegasan dan keindahan makna yang ingin disampaikan. Secara tidak langsung
memperlihatkan penyair sebagai watak utama di dalamnya. Pengualangan kata
“Tiada” menegaskan tentang kemahuan penyajak dalam menjalani kehidupan
seharian. Makna yang mudah difahami membolehkan pembaca mengenalpasti apakah
kehendak penyajak. Harapan ini juga bukan sekadar omongan kosong semata-mata,
tetapi juga menyatakan kebenaran hakikat kehidupan manusia zaman sekarang.
Pembaca juga mudah untuk mengenalpasti getaran kata, konsonan dan kepelbagaian
vokal sajak-sajak beliau. Sebagai seorang pembaca kita akan sentiasa merasai
kehadiran diri penyair dalam puisi ini dan puisinya yang lain.
Selain itu, sajak ini juga memberi penjelasan dengan pemilihan perkataan yang menarik. Sebagai contoh dalam baris pertama “Aku harap tiada henti yang bermula” merujuk kepada kemahuan Hasyuda Abadi agar menusia terus menerus tanpa henti memulakan apakah harapan beliau agar dunia ini menjadi aman. Penggunaan ini menunjukkan makna yang universal pandangan beliau dalam soal kehidupan. Beliau mahukan sesuatu yang tenteram, damai dan manusia saling kasih mengasihi. Lalu, apakah yang sudah dimulakan itu harus diamalkan seperti baris terakhir menyebut, “Aku harap tiada mula yang berhenti” merupakan penegasan semula terhadap harapan beliau kepada dirinya sendiri dan juga manusia yang lain. Sajak ini juga umpama sebuah doa keatas ilahi agar ditetapkan iman walaupun kadangkala iman kita sangat rendah. Begitu juga manusia yang tidak lepas melakukan dosa setiap saat, minit, detik dan hayat.
Jika dilihat dari segi
bahasanya, pemilihan kata yang dibuat oleh penyajak lebih kepada kata-kata yang
berkaitan dengan kehidupan. Kesemua perkataan seperti riuh, bunyi, damai,
tenang, selesa, suka, mimpi, tawa, jawab, hampa, bicara, pandang, gopoh yang
mewakili perbuatan yang biasa dilakukan oleh manusiawi. Dengan menggunakan kata
hubung ‘yang’ pada setiap perkataan digabungkan dengan perkataan bungkam, diam,
dendam, suram, gumam, muram, lena, tangis, tanya, budi, bisu, buta, dan sabar,
menunjukkan penyajak bijak dalam penggunaan asonansi. Sebagai contoh, ’Tiada
damai yang dendam’, ‘Tiada tenang yang suram’, ‘Tiada selesa yang gumam’, dan
‘Tiada suka yang muram’ . Semua perkataan mempunyai vokal ‘a’ yang diulang.
Selain asonansi, penggunaan kata ‘Tiada’ yang berulang-ulang yang menunjukkan
penegasan adalah salah satu teknik anafora. Anafora ialah pengulangan sesuatu
kata atau frasa pd permulaan beberapa kalimat atau klausa yg berturut-turut
agar memperolehi kesan tertentu. Kesan daripada pengulangan perkataan ini
menjadikan penyampaian sajak ini menarik dan unik. Seterusnya memberi
keistimewaan kepada puisi ini dalam menghayati kehidupan. Pembaca semakin
tertarik untuk membaca bait-bait seterusnya untuk mendalami makna tersirat dan
tersurat yang akhirnya terjawab dengan ayat terakhir baris terakhir iaitu, ‘Aku
harap tiada mula yang berhenti’. Barulah pembaca mengetahui apakah tujuan
sebenar penyair mengulang kata-kata tersebut.
Puisi ini
menggunakan perkataan yang mudah difahami dan terus kepada maksudnya. Jika
pembaca membaca sepintas lalu saja boleh memahaminya. Penyair juga menginginkan
pembaca terus memahami kepada maksudnya. Oleh yang demikian menggunakan
kata-kata yang mudah difahami. Dari strukturnya pula, sajak ini tidak mempunyai
perenggan dan di tulis secara terus seiringan keinganan penyair. Sajak ini
mempunyai satu makna dan tujuan iaitu untuk menyatakan pandangan serta hasrat
beliau terhadap kehidupan. Jika kita membaca tajuknya saja iaitu ‘Mula yang
berhenti’, pembaca tentu tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan penyair. Lalu,
jika kita membaca isi kandungannya jawapn kepada tanda tanya itu terjawab
semudah soal dan jawab. Tajuk puisi ini seperti menyoal kita tentang apakah
yang bermula dan apakah yang berhenti tersebut.
MI Fitri