23 September 2022

Analisis Kesepaduan Stail dengan Perutusan Agama dalam Kumpulan Puisi Kembali di Lahad Rahsia

 

Oleh: Dr. Abdul Halim Ali dan Norwai Haji Kata, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Dalam kajian ini pengkaji memberi fokus kepada  objektif kajian yang bertujuan untuk mengenalpasti aspek stail dalam Kumpulan Puisi ‘kembali di Lahad Rahsia` dan menganalisis kesepaduannya pemikiran penyair dan perutusan agama. Sebelum hasil analisis dibincangkan dijelaskan terlebih dahulu serba sedikit tentang diri penyair yang dikaji iaitu Hasyuda Abadi.

Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya Sukor Usin mula berkarya sejak akhir tahun 1970-an masih aktif hingga kini. Selain pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah, beliau pernah juga memenangi Hadiah Sastera Perdana. Oleh itu puisi berunsur Islam tidak asing lagi bagi Hasyuda kerana beliau pernah beberapa kali memenangi Sayembara Penulisan Puisi berunsur Islam anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah Dan Jabatan Agama Islam Sabah. Beliau juga pernah dianugerahkan sebagai ‘Tokoh Penyair Islam Sabah’. Dalam menganalisis puisi ini, pengkaji akan cuba meneliti kesepaduan keindahan bahasa dan pemikiran (stail) dengan perkaitannya perutusan agama seperti mana yang terkandung dalam Teori Estetika Bersepadu. 

Kesepaduan Stail Dengan Pemikiran

Berdasarkan teori Estetika Bersepadu, kesepaduan gaya bahasa dengan pemikiran penyair disebut sebagai `stail`. Stail merujuk kepada gaya yang terisi dengan pemikiran yang bermakna. Gaya dihadirkan penyair tidak hanya bertujuan yang meninggalkan kesan estetika luaran tetapi yang lebih utama adalah meninggalkan kesan estetika dalam bentuk pemikiran. Pemikiran yang bermakna menurut A. Halim Ali (2010) adalah pemikiran yang mengesankan kebaikan dan bersepadu dengan perutusan agama.

Hasil penelitian ke atas puisi-puisi dalam kumpulan puisi “Kembali di Lahad Rahsia” (2008) karya Hasyuda Abadi, terdapat enam jenis unsur gaya bahasa yang dikenal pasti banyak dan kerap digunakan iaitu unsur metafora, perlambangan, hiperbola, anaphora, pengulangan dan alusi. Penggunaan unsur bahasa ini dapat dikesan mempunyai kesepaduan dengan pemikiran penyair. Analisis yang dilakukan mendapati terdapat tiga inti pemikiran utama penyair yang ingin disampaikan iaitu pemikiran tentang memperingati masa dan kematian, kasih sayang terhadap keluarga dan hakikat cinta.

Kesepaduan Stail dengan Perutusan Tentang Mengingati Masa dan Kematian

Stail kepenyairan Hasyuda Abadi banyak terletak pada gaya pengulangan. Penggunaan gaya pengulangan memberi bayangan bahawa penyair ingin menyampaikan sesuatu secara berkesan, apatah lagi perkara yang ingin disampaikan berkait dengan persoalan masa dan kematian. Penggunaan unsur pengulangan dapat dilihat dalam sajak `Pernahkah kau menangis` (Hasyuda Abadi,2008:4). Dalam sajak ini unsur pengulangan hadir dalam bentuk pengulangan perkataan dan pengulangan baris. Pengulangan perkataan yang digunakan ialah `pernahkan` yang dibawa dalam bentuk kata tanya. Manakala pengulangan baris `pernahkah kau menangis diulang beberapas kali pada baris 1, 3,7 dan 9.  Lihat contoh petikan sajak di bawah:

              pernahkah kau menangis
              apabila malam beringsut tiba  
              pernahkah kau menangis
              ketika terdengar derap senja 
              semakin menjelma dan gumam
                           

pernahkah kau menangis
saat terbuka saja pintu
dan hanya sunyi menyapa
ke dalamnya
pernahkah kau menangis
waktu membilang usia yang berbaki
dan tidak lagi angka tetapi gelisah

                 (Hasyuda Abadi,2008:4)

                 Penggunaan kata pernahkah yang diulang-ulang secara konssisten dalam sajak menunjukkan suatu pertanya yang sifatnya bersungguh-sungguh dan bernuansa desakan yang mendalam. Jika disepadukan dengan perkataan dalam baris maka yang lebih memberi kesannya. Misalnya penyair menyebutkan;

pernahkah kau menangis
apabila malam beringsut tiba (b.1-2)               

Tatkala malam tiba penyair seolah-olah ingin tahu dari sudut hatinya atau pembaca tentang ruang malam yang disediakan Tuhan kepada manusia. Malam disebutkan dalam al-Quran sebagai teempat untuk berehat sepertimana yang tersebut dalam Surah al-Naba’:9-11:

Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki?"

(Surah al-Naba’ 9-11)

Malam juga selain untuk berehat, menenangkan diri dari kesibukan di siang hari, Allah menyebut dalam surah al-Muzzammil ayat 6 yang maksudnya;

`Sesungguhnya ibadah pada saat-saat waktu malam itu lebih kuat kesannya ke atas jiwa dan lebih lurus bacaan kita (lebih kusyuk)`

Dari ayat-ayat yang dibawakan di atas, menunjukkan bahawa waktu siang dan malam itu mempunyai fungsinya yang tersendiri. Waktu siang itu digunakan untuk melaksanakan pekerjaan dan tugas kita masing-masing. Manakala waktu malam itu, menurut al-Quran, ia digunakan untuk dua perkara; untuk tidur berehat dan untuk beribadah. Maka sepatutnya beginilah pembahagian masa bagi seorang Muslim itu. Justeru, setiap datangnya waktu malam itu, penyair ingin tahu, apakah manusia pernah berasa sedih atau penyesalan setelah meninggalkan siang dengan sia-sia. Jelasnya soalan pernahkah kau menangis itu membawa suatu persoalan yang lebih besar kepada diri manusia iaitu tentang ruang waktu untuk menyesali diri dengan soal taubat dan tahajjud.

                Penyair membawa kepada pembaca masa atau  waktu malam sebagai  `tempat` untuk pembaca ingat dan sedar tentang siang waktu yang ditinggalkan dan waktu malam sebagai tempat untuk menumpahkan penyesalan. Bukan masa malam sahaja yang ditanyakan, malah penyair juga menanyakan tentang masa senja dan masa tua dengan masa yang sedikit berbaki sepertimana baris-baris sajak di bawah;

pernahkah kau menangis 
ketika terdengar derap senja 
semakin menjelma dan gumam
 
pernahkah kau menangis
saat terbuka saja pintu
dan hanya sunyi menyapa
ke dalamnya
pernahkah kau menangis
waktu membilang usia yang berbaki
dan tidak lagi angka tetapi gelisah             

Dalam sudut estetik bahasa, unsur gaya bahasa pengulangan pada awal setiap baris (anafora) iaitu ‘pernahkah kau menangis’ dapat menyegarkan lagi makna kepada pembaca. Ayat ini diulang sebanya empat kali. Penyair memberi peringatan melalui pengulangan seperti ini ialah untuk memberi peringatan kepada pembaca, sahabatnya atau sesiapa sahaja yang dimaksudkannya membaca puisi ini tentang kesedihan yang bakal manusia alami. Unsur bahasa pengulangan itu merupakan penegasan kepada pembaca agar dapat mengingati pesanan yang disuarakan. Kata ‘menangis’ di situ membawa gambaran tentang kesedihan. Penyair memilih untuk membuat pertanyaan,’pernahkah kau menangis’ dan rasanya bagaimanakah agaknya jika tidak pernah menangis tentang perubahan waktu yang terlalu cepat berlalu.

Dari sudut Estetika Bersepadu, penggunaan unsur bahasa tidak dihadirkan dengan sa-sia atau untuk menikmati estetika gaya semata-mata, tetapi bersepadu erat dengan inti pemikiran penyair itu sendiri. Penggunaan unsur pengulangan dalam puisi `Pernahkah kau menangis` jelas membuktikan terdapat kesepaduan unsur pengulangan tersebut dengan pemikiran penyiar tentang pentingnya mengingati masa, baik yang dinisbahkan kepada waktu malam dan siang atau masa yang berbaki di kala manusia sampai usia tua.

Gambaran yang dapat ditunjukkan dalam analisis ini adalah estetika gaya pengulangan hadir dalam sajak dan berposisi estetika yang lengkap melengkapi dengan pemikiran penyair dan juga perutusan yang disampaikan kepada pembaca. Stail bukan sahaja mendukung aspek gaya dalam maksud formalnya tertapi juga terisi dengan pemikiran yang bermakna. Gaya dihadirkan Hasyuda Abadi tidak hanya bertujuan yang meninggalkan kesan estetika luaran iaitu unsur pengulangan` tetapi yang lebih utama adalah meninggalkan kesan estetika dalam bentuk pemikiran dan perutusan kepada pembaca.

Hamidah Abdul Hamid(1995)menyatakan bahawa karya-karya seni menggunakan lambang-lambang untuk menyampaikan makna dan maksud tertentu. Lambang-lambang yang diterapkan dalam karya seni boleh meningkatkan mutu karya tersebut atau menjejaskan nilai karya berkenaan. Beliau memberikan contoh penggunaan lambang dalam karya puisi dan karya prosa umpamanya ‘merpati putih’ membawa makna perdamaian,’bulan sabit yang berpasangan dengan bintang di dalam lukisan pelukis Islam melaambangkan agama Islam,manakala ‘kerusi’ yang digunakan dalam drama ‘kerusi’ karya Hatta Azad Khan melambangkan kekuasaan. Oleh itu jelaslah di sini bahawa peranan lambang dalam sesebuah karya itu membawa pengertian dan simbolik pemikiran seseorang pengkarya.

     Selepas itu ada ungkapan ‘malam menjelma’ yang boleh ditakrifkan sebagai pengakhiran usia. Apatah lagi penyair kreatif membuat pemilihan kata melalui gaya bahasa personifikasi dalam rangkap 1 baris 8 iaitu ‘dan hanya sunyi menyapa’. Pembaca akan membayangkan suasana kekosongan atau kata lain pengakhiran usia. Unsur-unsur perlambangan seperti ‘malam’, ‘pintu’ amat berkesan bagi menggambarkan pengakhiran usia.  Namun demikian, penyair mengigatkan dalam rangkap ke-2 seperti berikut :

menangislah ketika disebut
nama Tuhan
yang menjadikan 
yang memelihara
 
yang mengubah
yang menghilangkan
kerana kita terlalu lama ketawa.     

Dalam rangkap ke-2 ini pula, penyair mengubah strategi penulisannya daripada pertanyaan kepada seruan untuk menangis. Lihat setiap baris dalam rangkap di atas kata pengulangan ‘menangislah ketika disebut/nama tuhan/yang menjadikan/yang memelihara/yang mengubah/yang menghilangkan/kerana kita terlalu lama ketawa. Dalam rangkap itu, penyair jelas memberi peringatan dan penegasan kepada pembaca untuk memelihara kehidupan beragama. Dalam rangkap pertama penyair memulakan pertanyaan, manakala rangkap ke-2, penyair berseru dan mengajak agar menangis ketika disebut nama Tuhan dan mengajak pembaca agar sentiasa memelihara amalan beragama kerana Tuhan sebagai perancang terbaik samada membahagiakan atau menamatkan riwayat umat manusia yang sentiasa mengalami kenikmatan dunia. Kata ‘yang’ merupakan kata sendi diulang sebanyak tiga kali untuk memberi penegasan terhadap kalimat yang disuarakan yakni tentang kekuasaan Tuhan yang menjadikan/yang memelihara/yang mengubah/yang menghilangkan. Jelas sekali kata ‘yang’ digunakan untuk memberi penegasa bahawa penyair ingin mengingatkan kepada pembaca bahawa kekuasaan Tuhan melebihi segala-galanya yang ada di muka bumi ini.

Kata ‘ketawa’ membawa maksud gembira dan mengalami kenikmatan luar biasa di dunia ini. Justeru itu, penyair membawa pemikiran agar manusia mentaati masa dalam melaksanakan tanggugjawab beragama kerana waktu dan usia seiring bergerak dan terlalu cepat berlalu. Jika diabaikan,maka terlalu lewat bagi umat manusia untuk menyesal.

Perutusan yang disampaikan penyair dalam puisi ini sejajar dengan gesaan Allah seperti yang difirmankan dalam al-Quran( Surah Al-Asr :103:1-103:3 ) bermaksud:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian,kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat mensihati supaya menetapi kesabaran.

Puisi lain dalam kumpulan ini yang menyuarakan pemikiran tentang masa dan kematian ialah,’Usia : Kutemui dalam Lebur Mawaddahku’(ms:50, ’Usia’(ms:7),’Ramli di mana kini’(ms:31), ‘Kembali di Lahad Rahsia’(ms:38) ‘Nafas yang Tak Setia’(ms:12), dan ’Menjelang Keberangkatan’ (ms: 38)

Demikian juga dalam puisi ‘Nazak’ penyair mencetuskan pemikiran tentang usia di ambang akhir. Penyair menyuarakan pemikiran melalui kiasan bahasa puisi walaupun ringkas tetapi padat dengan pengajaran. 

Waktu ku ditusuk pisau kematian ku 
memanggil kejernihan yang ditakluk dingin
 
kumesrai hampirmu tanpa berjejak lagi pada
  
ruang tak dapat diukur jaraknya,ku diramahi
 
perbualan pertama yang belum lagi ada
jawabnya, kusepikan apa juga soalan kalian,  
tidak terbongkar leburan hitam yang bertakhta,
   
kalbuku riuh tanpa siapa membantu, ini titikku
yang hanya Dia yang tahu bukan aku atau kau.

Penyair membayangkan kematian yang semakin hampir namun akur akan kematian itu menjadi rahsia Tuhan. Tidak ada sesiapa yang tahu akan tarikh dan masa kematian walaupun sedang berhadapan dengan kesulitan umpamanya nazak. Dalam rangkap 1, baris 1 penyair memilih gaya metafora iaitu ‘pisau kematian’ yang menggambarkan sakitnya sebuah kematian. Pisau secara nyatanya sejenis benda tajam dan menyebabkan tubuh terluka dan kesakitan. Namun dalam puisi ini pisau adalah sebagai lambang yang dikaitkan dengan kematian. Oleh itu jika ‘pisau kematian’ (gaya bahasa metafora)alangkah sakitnya jika seseorang pembaca membayangkannya. Ungkapan bahasa kiasan ‘kumesrai hampirmu’ dalam baris ke-3 bermaksud redha akan kematian yang menjemputnya. Manakala unsur gaya bahasa hiperbola ‘kalbuku riuh’ baris ke-8 menggambarkan kegelisahan yang melanda seseorang ketika nazak. Penyair menyatakan bahawa tidak ada sesiapa yang dapat membantu kecuali Allah SWT mengikut amalan seseorang manusia. Pemilihan metafora dan hiperbola ini menunjukkan penyair berusaha memberi gambaran melalui kias banding tentang seseorang yang menamatkan usianya. Walaupun penggunaan hiperbola itu sebagai ungkapan yang berlebihan dan dianggap gangguan  dalam pemilihan bahasanya, tetapi ia digunakan untuk memancing perhatian pembaca tentang kegelisahan di saat menghadapi kematian. 

Pemikiran yang dicetuskan oleh penyair tentang pemikiran seiiring dengan perutusan dalam al-Quran surah Ar-Rahman ayat 26-27 yang menjelaskan dengan maksud “bahawa semua yang ada di bumi akan binasa(mati/meninggal dunia),baik manusia,haiwan tumbuhan,mahu pun yang lainnya. Namun Allah maha besar tetap kekal”. 

Kesepaduan Stail dan Perutusan dengan Kasih Sayang Terhadap keluarga

Terdapat beberapa puisi Hasyuda Abadi memanfaatkan pemikiran tentang kasih sayang terhadap keluarga. Dalam Teori Estetika Bersepadu iaitu kesepaduan stail dan perkaitannya dengan perutusan kebenaran didapati gaya bahasa dan pemikiran(stail)memang ada kaitannya dengan perutusan agama serta realiti kehidupan . Kebenaran dalam konteks Estetika Bersepadu ialah kebenaran berpandukan keterangan al-Quran serta hadis,dan kebenaran yang berpandukan realiti kehidupan. Puisi lain yang terkandung dalam buku ini yang membawa pemikiran yang sama ialah ‘Melihat Cermin’(ms:15),’Anak-Anak’(ms:118).

Terapan dan analisis ini dilakukan ke atas beberapa buah puisi Hasyuda dalam puisi yang berjudul ‘Sebagai Ayah Entah Apakah yang Pernah Dihargai Anak’ mukasurat 40, yang membawa pemikiran tentang kasih sayang terhadap anak-anak. Dalam puisi ini penyair menceritakan kasih sayangnya terhadap anak-anak sejak kecil hingga dewasa. Penyair menggunakan unsur bahasa pengulangan iaitu setiap rangkap mengulang setiap ungkapan persoalannya di setiap baris pertama yang berbunyi ‘Setiap ayah entah apakah yang pernah dihargai,anak’.

 Penyair menjelaskan, menjaga anak-anak dengan rasa kasih sayang walaupun susah payahnya tidak diketahui anak, namun perjuangan menjaga anak-anak dengan rasa kasih sayang sehingga matang adalah satu tanggungjawab. Gaya bahasa pengulangan, personifikasi,metafora dan hiperbola menjadi pilihan penyair dalam mengolah puisi ini dapat menyerlahkan pemikiran tentang kasih sayangnya terhadap anak-anak perempuannya. Cetusan rasa penyair dapat dilihat dalam rangkap ketiga seperti ini :

sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai,anak
menyalur halus kasih sayang biar apa pun yang harus
datang dan menghalang,malang atau walang,derita atau
ria suka bahkan menyimpan rahsia peribadi,memahami
raung ruang remaja,mengerti malah erti cinta biarpun
cuma anak-anak hingusan yang baru membesar
didewasakan bacaan atau tontonan zaman 

Penyair dengan jelas menyuarakan erti kasih sayang seorang ayah terhadaap anak remajanya dan dikuatkan lagi dengan unsur metafora ‘tontonan zaman’ yang membawa makna cabaran zaman semasa. Intipati pemikiran penyair dapat dilihat dalam perutusan al-Quran sepertimana  dalam firman Allah SWT :

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu(berhala);neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar(layanannya);mereka yang menderhaka kepada Allah terhadap segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka,dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkannya.”   (Surah al-Tahrim 66:6) 

Justeru itu menjaga anak dan memberi kasih sayang kepada mereka merupakan tanggungjawab yang wajib walaupun berat. Dalam mejaga anak, ibu bapa juga wajib memberikan anak-anak hak perlindungan, memberikan pendidikan dan kasih sayang. Jawiah Dakir(2019) menyatakan walau sibuk sekalipun seorang seorang ibu atau bapa, walau seramai mana pun anak-anak mereka,ibu bapa perlu menunjukkan kasih sayang terhadap anak mereka ketika kecil. Kewajipan itu termasuk juga memberikan nafkah oleh bapa sebagai ketua kelarga. Manakala Rahimah Abdul Hamid(2015) berpandangan sensitiviti dan kreativiti seseorang pengarang untuk berkarya ada kaitan langsung dengan psikologi-estetik di mana penyair atau pengarang mendapat ilham dari jiwa sebenar. Dalam erti kata lain pengalaman sebenar pengrang yang bersuara dalam bentuk karya sastera adalah lebih terasa kesannya kepada pembaca.

Dalam puisi lain, penyair juga meluahkan kasih sayangnya terhadap seorang ibu tercinta melalui puisi berjudul ‘’Mengunyah Jadam’ mukasurat 84. Penyair meluahkan akan kesabaran bondanya dalam mengharungi kehidupan bersama anak-anak. Seseorang ibu sanggup mengharungi kepayahan kehidupan dan inilah yang dirakamkan penyair yang tahu akan derita sengsara seorang ibu demi keluarganya seperti dalam rangkap pertama(b.1-2);

     Perih pedihmu mengunyah jadam kehidupan
     Tega meriwayat hayat segala rasa 

Gaya bahasa metafora yang ditimbulkan dalam puisi ini dapat menonjolkan makna keperitan hidup,yakni seorang ibu yang dimaksudkannya dalam mengharungi kelangsungan hidup.Muhammad Haji Salleh(2014)berpendapat bahawa dalam pencarian makna,antara yang ditemui adalah beberapa keserupaan,kesamaan,pertindihan,dan keselarian di antara hal yang berlaku dalam alam dan pada diri manusia secara peribadi atau kelompok. Sehubungan itu, penyair juga menyuarakan makna berdasarkan pengalaman hidup yang ada persamaannya dengan sehingga dapat membuat kiasan dalam puisinya. Penyair yang merupakan seorang anak amat terkesan akan kepayahan ini dan memberi kata-kata rangsangan seperti dalam puisi rangkap ke-3 (b.4-8) yang berbunyi: 

dengarlah suara itu,ummi,rama-rama menyapa
wangi bunga-bunga
aku pulang memulangkan kepercayaan
membebat duka dan perih pedihmu
yang tak berkesudahan (b.4-8) 

Unsur gaya bahasa personifikasi dalam rangkap puisi di atas iaitu’ rama-rama menyapa wangi bunga-bunga’ menggambarkan indah dan mulianya perjuangan dan kasih sayang seorang ibu. Namun demikian penyair memberi jaminan kepada ibunya untuk membantu membahagiakan seorang ibu yang dikasihinya seperti dalam unsur gaya bahasa metafora iaitu ‘membebat duka dan perih pedihmu’. Dalam puisi ini juga pengkaji dapat mengesan bahawa penyair mengemukakan pemikiran akan kecaknaan seorang anak yang berjauhan dengan ibunya. Seorang anak sanggup pulang, walau sesibuk manapun untuk membantu ibunya atau sekurang-kurangnya merawat kerinduan seorang ibu. Di sinilah pembaca dapat melihat dan menilai akan betapa pentingnya kecaknaan seseorang anak dalam aspek memberi kasih sayang terhadap ibu, menghilangkan kesepian mereka dengan perhatian dan bantuan yang sewajarnya. Cetusan pemikiran penyair dalam puisi ini ada kaitannya dengan perutusan kebenaran dan realiti kehidupan.

Oleh itu, Islam menentukan kewajipan anak terhadap ibu bapa mereka.Abu Umamah meriwayatkan hadis yang cukup bermakna untuk diambil iktibar iaitu yang bermaksud: “seseorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW,apakah hak kedua-dua ibu bapa terhadap anaknya? Bagind menjawab: Kedua-dua mereka adalah syurga dan neraka kamu.” (sumber : Ibn majah,Sunan Ibn Majah,Kitab al-Adab Bab Birr al-Walidayn,no.3653) 

Firman Allah SWT yang bermaksud : 

“Dan Tuhanmu memerintahkan kamu supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara kedua-duanya sampai umur lanjut dalam pemeliharaanmu,maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perbuatan yang mulia.” (Surah al-Isra’ 17:23) 

Oleh itu menjaga hati ibu bapa termasuk adab menghormati dan menjaga kebajikan adalah sangat dituntut dalam Islam. Menurut Muhammad Haji Salleh(2000),karya-karya sastera mengajar kita menghormati orang lain, menghargai budi baik,mengasihi orang tua dan juga mengingatkan tentang keburukan menderhakan. Di sinilah kejayaan penyair untuk mengemukakan pemikiran tentang kasih sayang terhadap keluarga iaitu kasih sayang kepada anak-anak termasuk juga ibu bapa yang merupakan keharmonian bagi setiap keluarga yang mengamalkannya. Keharmonian sesebuah keluarga dapat membantu keharmonian masyarakat dan juga negara.  

Kesepaduan Stail dengan Perutusan Tentang Hakikat Cinta

Dalam puisi ‘Harum Rindu’(ms:60), penyair menunjukkan rasa cintanya kepada maha pencipta iaitu Allah SWT. Penyair menceritakan tentang kesedaran dirinya untuk beriman kepada Allah,menjaga segala amalan yang diperintahkan,memelihara nafsu dan perkara-perkara yang dilarang.Sidek baba(2015)menyatakan cinta Allah dan cinta Rasulullah SAW harus difahami dan dihayati melalui amalan dan contoh teladan. Hal ini bukan hanya bersifat ritual semata-mata tetapi terlihat pada amal dan perbuatan,iaitu apabila kita kembali kepada Allah dan rasulullah SAW melalui pedoman al-Qur’an dan hadith. Sehubungan itu,mesej yang sama terdapat dalam kandungan puisi ini yang berkaitan tentang hakikat cinta kepada Allah. Penyair menyebutkan;

menghampar nafasmu
hangat menakluk dingin
semarak gerak batin
mengikat kalbu mengimani rindu
mula kumembuka rahman 
Yang kubaca saban malam.(b.1-6) 

Penggunaan unsur hiperbola ‘menghampar nafasmu’ dan mengikat kalbu mengimani rindu’ menunjukkan penyair ingin memberitahu dengan sungguh-sungguh akan keinginannya untuk mendapat keredhaan dan kasih sayang daripada Allah SWT. Penyair ingin menyampaikan pemikirannya tentang betapa pentingnya manusia untuk menelaah kembali ayat-ayat suci al-Quran yang menjadi pedoman terhadap kehidupan manusia. 

memelihara nafasmu
taman ayu mengharum
segera kupulang ke ruang
menghafal ajaran kebenaran 
berlabuh memintal suluh (b.9-13)

Penyair juga menunjukkan pemikirannya untuk mengajak pembaca agar menghargai nikmat dunia yang diberikan dan agar mentaati ajaran kebenaran sebagai penyuluh hidup di dunia dan di akhirat. Penggunaan unsur hiperbola ‘memelihara nafasmu’ tidak menjejaskan maksud sebaliknya menunjukkan rasa syukur penyair akan nikmat nafas yang dipinjamkan oleh Allah SWT kepadanya,manakala ‘berlabuh memintal suluh’ menunjukkan ajaran kebenaran merupakan suluh kehidupan. 

Dalam al-Quran Surah An-Nissa ayat 69 yang bermaksud :

“Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul(Muhammad)maka mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah,iaitu para nabi,para pencinta kebenaran,orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang soleh.Mereka itulah teman sebaik-baiknya.” 

Manakala puisi ‘Sukma Malam’(ms:46) juga menyampaikan rasa cinta kepada pencipta(Allah SWT) dalam bait-bait berikut;

menghuni malam-malam yang lain
ini,tak ada garis mengulang ungkap
menyampaikan rahsia yang Engkau
ketahui;terlalu saujana kurnia ini,ya Rabb,
hingga akalku hanya memiliki rasa syukur 
 dan insaf (b.1-6) 

Sekali lagi,penyair ingin menyampaikan rasa bersyukurnya terhadap sebarang kurniaan yang telah dikecapi. Malah rasa insaf itu diucapkannya kerana merasakan tidak ternilai nikmat yang telah dimiliki dengan penggunaan unsur bahasa metafora yang dapat menjelmakan makna, cetusan pemikiran sekaligus keindahan dalaman puisi ini. Ciri-ciri keindahan menurut pandangan V.I. Braginsky(1994) melalui bukunya Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik ialah keindahan dalaman, isi, keindahan alam fizikal, keindahan fenomena, keindahan dalaman(menyempurnakan akal dengan faedahnya), keindahan luaran(apa yang dirasa oleh deria lihat dan deria dengar manusia yang hanya dapat menghibur lara), keindahan mutlak dan keindahan rohani. Oleh itu ciri-ciri puisi ini dapat menjelmakan keindahan kerana mengandungi kata-kata islamisasi yang jelas. 

RUMUSAN

Berdasarkan analisis terhadap puisi-puisi yang terhimpun dalam “Kembali di Lahad Rahsia”, terdapat tiga inti pemikiran penyair yang ingin disampaikan kepada pembaca iaitu peringatan tentang masa dan kematian, kasih sayang terhadap keluarga dan hakikat cinta kepada Allah.  Dalam analisis tersebut mendapati kesepaduan unsur bahasa metafora,personifikasi, hiperbola, anaphora dan alusi dapat menguatkan makna setiap bait puisi dan menyerapkan perutusan serta pemikiran penyair.

Gaya pengulangan dan imej yang dibawa oleh penyair merupakan suatu penegasan makna. Pembaca dapat merasakan emosi penyair dengan menghadirkan diksi Islami yang tepat di samping unsur bahasa yang menggambarkan sesuatu peristiwa. Penggunaan gaya bahasa hiperbola bukanlah tujuan untuk berlebih-lebihan dalam berbahasa tetapi ia dihadirkan oleh penyair sebagai memancing perhatian terhadap apa yang disampaikan.

Kekuatan penyair, Hasyuda Abadi bukan hanya pada kreativitinya sebagai penyair semata tetapi, penghayatan pengalaman dan tugas dakwah yang beliau laksanakan, Amalan ini membuktikan estetik kepenyairan Hasyuda kerana beliau bukan setakat menyuarakan pemikiran semata tetapi apa yang diucapkannya melalui puisi adalah realiti dilakukannya. Pegangan penyair seumpama ini boleh diikuti oleh pembaca kerana puisi-puisi Hasyuda Abadi adalah gambaran diri dan sikapnya terhadap pemikiran yang disampaikan.Secara tidak langsung penyair memanfaatkan ilmu serta amalan keagamaannya sehingga dapat melontarkan pemikiran yang indah dan berkesan kepada pembaca. Latar belakang penyair sebagai pengasas Baaitul-Muqaddam dan memberi sumbangan terhadap aktiviti keagamaan merupakan bukti perjuangan beliau dalam mengembangkan syiar agama dan ia selari dengan pemikiran yang disampaikan.

Justeru itu,kata pengulangan dan hiperbola yang banyak digunakan oleh penyair dalam setiap puisi yang terkandung dalam ‘Kembali di Lahad Rahsia merupakan penegasan peringatan terhadap apa yang disuarakan umpamanya dalam memberi pesan agar manusia insaf akan usia,kematian,kekeluargaan dan rasa insaf dan bersyukur akan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Di sinilah berlakunya teks sastera yang dapat mendidik pembaca melalui gaya pengucapan yang indah dan dapat menjelmakan makna pemikiran yang bersesuaian dengan perutusan kebenaran. Unsur bahasa yang bersepadu dengan makna yang indah akan memancarkan pemikiran dan perutusan yang berguna kepada pembaca. 



Rujukan:

Abdul Halim Ali.(2010) ‘Konsep Estetika Bersepadu : Terapan dan analisis
Terhadap karya puisi Ahmad kamal Abdullah’. Tesis Ijazah Doktor Falsafah
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris. 

Abdul Halim Ali.(2018). Sorotan Perkembangan Genre Puisi Moden Di Sabah
dan Analisis Ringkas Terhadap Sajak-Sajak Terpilih Lima Penyair. Jurnal.                     

Hasyuda Abadi.(2008). Kembali di Lahad Rahsia : Kumpulan Puisi. Kota Kinabalu.
Iris Publishing and Distribution.

           

Ulasan Puisi Pilihan

 

Tajuk Puisi: Mula Yang Berhenti

Aku harap tiada henti yang bermula

Tiada riuh yang bungkam

Tiada bunyi yang diam

Tiada damai yang dendam

Tiada tenang yang suram

Tiada selesa yang gumam

Tiada suka yang muram

Tiada mimpi yang lena

Tiada tawa yang tangis

Tiada jawab yang tanya

Tiada hampa yang budi

Tiada bicara yang bisu

Tiada pandang yang buta

Tiada gopoh yang sabar

Aku harap tiada mula yang berhenti

 

Sumber : ‘Kembali Di Lahad Rahsia’ 2008, Pejabat Perhubungan ADUN N.24 Membakut, Sabah

Membaca sajak-sajak Hasyuda Abadi membawa perasaan pembaca kepada penulisan yang memberi kesedaran atau peringatan kepada diri penulis sendiri. Penulis secara tidak langsung membawa pembaca untuk sama-sama mengambil peringatan. Seperti sajak Mula Yang Berhenti di atas, merupakan satu peringatan dalam bentuk penegasan yang diatur pembendaharaan katanya dengan indah sekali. Teknik pengulangan ini memberi penegasan dan keindahan makna yang ingin disampaikan. Secara tidak langsung memperlihatkan penyair sebagai watak utama di dalamnya. Pengualangan kata “Tiada” menegaskan tentang kemahuan penyajak dalam menjalani kehidupan seharian. Makna yang mudah difahami membolehkan pembaca mengenalpasti apakah kehendak penyajak. Harapan ini juga bukan sekadar omongan kosong semata-mata, tetapi juga menyatakan kebenaran hakikat kehidupan manusia zaman sekarang. Pembaca juga mudah untuk mengenalpasti getaran kata, konsonan dan kepelbagaian vokal sajak-sajak beliau. Sebagai seorang pembaca kita akan sentiasa merasai kehadiran diri penyair dalam puisi ini dan puisinya yang lain.

Selain itu, sajak ini juga memberi penjelasan dengan pemilihan perkataan yang menarik. Sebagai contoh dalam baris pertama “Aku harap tiada henti yang bermula” merujuk kepada kemahuan Hasyuda Abadi agar menusia terus menerus tanpa henti memulakan apakah harapan beliau agar dunia ini menjadi aman. Penggunaan ini menunjukkan makna yang universal pandangan beliau dalam soal kehidupan. Beliau mahukan sesuatu yang tenteram, damai dan manusia saling kasih mengasihi. Lalu, apakah yang sudah dimulakan itu harus diamalkan seperti baris terakhir menyebut, “Aku harap tiada mula yang berhenti” merupakan penegasan semula terhadap harapan beliau kepada dirinya sendiri dan juga manusia yang lain. Sajak ini juga umpama sebuah doa keatas ilahi agar ditetapkan iman walaupun kadangkala iman kita sangat rendah. Begitu juga manusia yang tidak lepas melakukan dosa setiap saat, minit, detik dan hayat.

Jika dilihat dari segi bahasanya, pemilihan kata yang dibuat oleh penyajak lebih kepada kata-kata yang berkaitan dengan kehidupan. Kesemua perkataan seperti riuh, bunyi, damai, tenang, selesa, suka, mimpi, tawa, jawab, hampa, bicara, pandang, gopoh yang mewakili perbuatan yang biasa dilakukan oleh manusiawi. Dengan menggunakan kata hubung ‘yang’ pada setiap perkataan digabungkan dengan perkataan bungkam, diam, dendam, suram, gumam, muram, lena, tangis, tanya, budi, bisu, buta, dan sabar, menunjukkan penyajak bijak dalam penggunaan asonansi. Sebagai contoh, ’Tiada damai yang dendam’, ‘Tiada tenang yang suram’, ‘Tiada selesa yang gumam’, dan ‘Tiada suka yang muram’ . Semua perkataan mempunyai vokal ‘a’ yang diulang. Selain asonansi, penggunaan kata ‘Tiada’ yang berulang-ulang yang menunjukkan penegasan adalah salah satu teknik anafora. Anafora ialah pengulangan sesuatu kata atau frasa pd permulaan beberapa kalimat atau klausa yg berturut-turut agar memperolehi kesan tertentu. Kesan daripada pengulangan perkataan ini menjadikan penyampaian sajak ini menarik dan unik. Seterusnya memberi keistimewaan kepada puisi ini dalam menghayati kehidupan. Pembaca semakin tertarik untuk membaca bait-bait seterusnya untuk mendalami makna tersirat dan tersurat yang akhirnya terjawab dengan ayat terakhir baris terakhir iaitu, ‘Aku harap tiada mula yang berhenti’. Barulah pembaca mengetahui apakah tujuan sebenar penyair mengulang kata-kata tersebut.

Puisi ini menggunakan perkataan yang mudah difahami dan terus kepada maksudnya. Jika pembaca membaca sepintas lalu saja boleh memahaminya. Penyair juga menginginkan pembaca terus memahami kepada maksudnya. Oleh yang demikian menggunakan kata-kata yang mudah difahami. Dari strukturnya pula, sajak ini tidak mempunyai perenggan dan di tulis secara terus seiringan keinganan penyair. Sajak ini mempunyai satu makna dan tujuan iaitu untuk menyatakan pandangan serta hasrat beliau terhadap kehidupan. Jika kita membaca tajuknya saja iaitu ‘Mula yang berhenti’, pembaca tentu tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan penyair. Lalu, jika kita membaca isi kandungannya jawapn kepada tanda tanya itu terjawab semudah soal dan jawab. Tajuk puisi ini seperti menyoal kita tentang apakah yang bermula dan apakah yang berhenti tersebut.

MI Fitri