16 Mei 2008

Celaru

jika fikiranmu celaru, gembirakanlah hatimu kerana kau akan mencari di mana silapnya. apakah ada kebenaran atau kebimbangan telah semakin jelas? kau semakin resah kerana tiada suara yang sampai ke dalam akal orang-orang yang bestari. kau tidak akan berduka jika jalan di hadapan tak pernah dikenal pintu yang harus dibuka. kau tidak faham bagaimana pintu itu tercipta. kau memandang cahaya tetapi hanya bulan yang datang pada musimnya. kau memandang laut yang tidak pernah henti diriuhi gelora dan ia terus terjadi dalam hidup. gembirakanlah hatimu jika fikiran celaru kerana hanya pengalaman yang akan kenal erti damai dan tenang. kembali kepada kebenaran yang datang meskipun terlalu kemudian.

Uzlah


jika kau memilih diam gembirakanlah hatimu, kerana diam itu uzlah. kau telah kembali kepada diri dan peribadi. kau akan menemukan akar dan punca segala perkara. kau telah merenung jauh ke dalam dan bertemu kegelapan yang akan tersingkap terang cahaya. kau tidak akan kembali memandang belakang kerana sejarah tidak akan berulang. kau akan faham jika kau merasakan dunia ini hanya pentas yang sementara. gembirakanlah hatimu kerana hidup lebih membahagiakan sewaktu diammu memberimu jati diri yang sebenar.

Bait Terhujung

- kepada AM

tidak lagi terjelma bait-bait baru setelah kutemuipetunjuk titikku. bait-bait yang terdahulu rupanyacuma peristiwa mengisi kehidupan sementara,ketika tidak lagi tersapa inti rahsia hanya cerminmenghias kamar didiami hukuman-hukuman lampau. di hujung bait ini telah direnjis wangi mawar dan abadi lebur di udara, apakah ada angkasa yang sesasa rahsia melepaskan sayap-sayap jelita? agarsegar anggur dan manis air yang mengalir menanti saat berangkat akan tiba. terimalah bait terakhir ini dengan titik maha titiknya. kututup kitab segala peristiwa dibawa bersama jernih doa.

Hanya Dia

yang mendengarmu ialah suara
yang melihatmu ialah pandang
yang menyapamu ialah diam
yang mengingatmu ialah detik
yang memulangkanmu ialah uzlah
yang mengqiamkanmu ialah nur
yang menitikkanku hanya Dia.

Tiada Beza

sebelum tiada tak kulihat kerana tebal hijabnya
setelah ada tak kupuas kerana luas batasnya
setelah bebas tak kulepas kerana erat siratnya

kalau dekat ibarat kukuku
kalau jauh ibarat erat urat ingat di kalbu
tiada atau ada tiada beza meski bebas

warasku tak membeku di hujung titikmu.

Duka Sasa

tidak lagi ungkapan duka yang telah sirna
di horison masa, tidak juga memandang peristiwa
yang memberiku leka sepanjang liku, telah diturunkan
layar silam di dalam hijabNya menenggelamkan
apa sahaja tanpa tanda agar segar tegar
samudera pelayaran, negeri ini hanya sebuah perahu
bakal meninggalkan jambatan ke alam maha luas.
ada jawapan yang terhakis dalam gerimis
saat keberangkatan terjadi, duka menjadi sasa
meski cuma sia-sia.

Suara Kecil

perahu hayat belayar mengikut arah cuaca yang benar melepaskan ingatan berbalam bagai awan, hadir tak pernah mungkir sepanjang pelayaran bersahabat dengan penat, berkawan dengan mabuk, intim dengan gelora samudera makna kasihNya merawat wajah kalbu dari kabut. hanya suara kecil terpencil di ufuk awan ingatan berapung di angkasa raya hayat tatkala perahu wujud mencatatkan peristiwa. meski tanpa batas dalam titikNya tidak terpadan saat terjadi pelayaran yang lebih abadi, jernih merapi kalbu, menyaring segala peristiwa tanpa melupakan rahsiaNya.

Menyeberang Samudera


selepas merafakkan doa akhir dan awal tahun perahu hayat membenarkan pelayaran merentas batas hijrah, taburan mawar syukur menerawang aroma cinta, kucari bingkai cermin menyatukan kekaguman cinta, cahaya menyeberang samudera memandu pelayaran dalam harap yang berganda, cintaku kembali ke akar cahaya hijrah.

Gemeresik Bisik


kaca-kaca yang kutemui malam ini rupanya cermin yang pecah yang tak sanggup memandang diriku kepada titik sebuah perjalanan panjang. kukumpul kaca-kaca yang berkecai itu dalam resah yang tak terkata dalam derita menaakul citra yang tak tersibak hijabnya. kudengar gemersik bisik sesuatu yang datang menatang kekuatan yang enggan memautkan semula serpihan kaca hingga terungkap ucap silap yang disait-siat pedang hukuman malu memandang wajah yang didewasakan pengalaman. kuberteleku memahami citra di hadapan damai malam menyimpan kaca-kaca di dasar pandangan paling dalam.

Nipis Kikis


di angkasa terawang ketika memandang zarah-zarahkubersatu dalam makrifat kembali ke azali. nipis kikis musnah dalam keagungan cinta. apakah ada manis yang mengalir air susu untuk kuteguk? aku digoda dunia dosa yang memenjara. saat terputus suara mengungkap segala hasrat segera menyertai burung-burung di angkasa. apakah semua pelayaran damba hamba diterima, menghidu wangi dan menikmati manis firdausi? dalam awangan menuju keabadian tanpa rupa hanyawajah-wajah silam menanti di hadapan al-Hakam.

Titik Azali

perlahan-lahan mengalir keluar warna lampaudari liang rahsiamu, di manakah arahnyatak kan mengalir kembali ke arahku, detikjam berputar hanya mempamit bagai lembayungyang berlalu, berganti cuaca sebagai mataharimenyoroti liku ke titiknya. mengalir perlahanke titik azali tak kelihatan dilahadkan di makamkalbu. di titik dalam noktahNya.

Mengalir Manis

manis itu mengalir setelah pahit menggigit kalbu, takkan habis seluas alam kerana segala-galanya tercipta untuk membenarkan insan mengenali dirinya. kehidupan sering berulang kesedihan dan kegembiraan, bagai pergerakan bumi, takkan kekal pernah sama meski pengalamannya serupa. kita tetap di bawah walaupun sudah berada di atas. Itu lebih baik kerana di sisi Ilahi bawah adalah taraf yang abadi. bagai debu yang menyatukan tubuh yang berkecai jua akhirnya. kehidupan tidak tercipta untuk tewas selagi faham mengapa ia tercipta semata-mata kerana Kesempurnaan Yang Maha Esa.

Terakar

hilang aku dari kamar yang terakar detik
menyembunyikan nafs. sirna aku dari kuku
yang terakar tegar menyimpan akrab. lebur
aku dari ada yang terakar redha merapi sunyi.
nazak aku dari nafas yang terakar kun menanti kun.

Kerana Matahari

aku buta katamu tapi kau memandang aku sebagai objek yang indah bukan juga sebagaimana aku kerana cahaya telah memisahkan pengertiannya. aku bukan seperti di dalam cermin yang sedang fana tapi akuku kau kenali segala-galanya. kerana matahari aku buta katamu, tapi memandang betapa jelasnya keindahan.

Dalam Perhitungan

rentung aku dalam panas keagungannya
hancur aku dalam kesempurnaannya
beku aku dalam wap keindahannya
hilang aku dalam kebenaran janji-janjinya
musnah aku tiada apa-apa tanpa kekuatan
yang membantu kecuali ketika segala aku
menjawab tanpa campur tanganku
pertanyaan-pertanyaannya dan masa silam
yang telah lama dalam perhitungan.