16 Mei 2008
Pintu Peristiwa
Keajaiban Sebuah Naluri
jika pada suatu ketika kau mengingati seseorang yang akrab, atau yang jauh tetapi dekat dalam fikiran, atau yang dekat tetapi apakah kau juga berada dalam fikirannya, gembirakanlah hatimu kerana kau tetap bahagia menempatkan ruang dirimu terhadapnya walaupun tiada yang memberitahu keajaiban sebuah naluri pertembungan fikir sedang dan akan terjadi. gembirakanlah juga hatimu andai tidak pernah ada di hati sesiapa juga, hingga suatu ketika ada yang amat merasakan sebuah kewujudan berbanding ketiadaan yang abadi.
Menghulur Insan
jika kau didatangi seseorang yang meminta bantuan belas, gembirakanlah hatimu kerana ada beban yang telah berkurang dipikulnya. walaupun tidak kau kenali mereka siapa. saat kau menghulur ihsan pejamkanlah matamu, agar tidak tinggal sedikit pun peristiwa kau alami sebentar tadi selain sebuah doa kelapangan, sama ada padamu atau pada orang yang datang kepadamu itu. gembirakanlah hatimu kerana peristiwa itu mungkin terjadi kepadamu tanpa mengharapkan apa-apa suatu ketika kau tidak memandangnya sekarang.
Gelut Kehidupan
jika kau telah mencapai punca terhadap apa yang bergelut di danau kehidupan mudamu, gembirakanlah hatimu kerana tidak akan habis buah fikir, atau jarak langkah, atau tanda faham terhadap situasi dialami zahir mahupun tidak. kau akan dilapangkan oleh terbentangnya padang pandangan, saujana lautan telaah, bahkan keindahan cakerawala yang mematangkan kedewasaan insan. gembirakanlah hatimu saat waktunya kau memelihara kebenaran yang kau yakini benar sepanjang ia benar.
Kejayaan
jika kau telah melalui kejayaan terhadap sesuatu dalam perjalanan hidup gembirakanlah hatimu, kerana itu adalah kebahagiaan yang dianugerahi Tuhan dalam adunan usaha fikir, batin serta zahir bernaung di bawah ikatan ukhwah persahabatan yang alir fikirnya sama sehala. ikatan yang kuat adalah asas kemajuan dan kejayaan. gembirakanlah hatimu kerana jalan-jalan yang panjang akan terus berada di hadapan untuk kau memacu semangat kentalmu melakukan apa yang kau fikirkan menyatu di dalam niat dan fikiranmu.
Luka
Usikan Kalbu
jika kau berkata dengan diri sendiri, gembirakan hatimu, kerana kau telah menyelamatkannya dari mendengar bisikan yang belum terucap. kau tidak juga dapat memalingkan kepada sesiapa ketika jendela dengarmu terkunci. kau malah sembunyikan wajah suara di sebalik hijab sepi. meski tidak juga kau jumpai apa-apa selain kepekatannya di situ. kau seperti di alam yang lain, bergelumang dengan lautan sunyi, bagai demikianlah abadi. gembirakanlah hatimu jika masih kau mendengar sapaan selain usikan kalbumu itu, walaupun bukan dirimu, tapi dirinya.
Perjuangan
Masa Lalu
jika sukar keluar dari belukar masa lalu, gembirakanlah hatimu kerana masa lalu telah abadi, lebur mewarnai peribadi. kau telah dianugerahi masa lampau yang mendasar. usia berlalu memberimu laluan yang terus berliku, persis tanya juga sentiasa bertandang dan kau ingin sekali pulang sebagai dulu dalam urat tanda melingkar dalam rimbunan flora fikir. kau kian beralur menyerah arah delta yang jauh, mengurut letih di bawah cahaya. gembirakanlah hatimu, betapapun sulit berbelit mengukur umur kerana semakin kau temui makna cari impianmu semakin dalam akar masa lalu dibesarkan kebenarannya.
Anak-Anak
Sebalik Kekhilapan
jika khilap dalam perbuatan, gembirakanlah hatimu, kerana pada saatnya kau menyedari telah menemui pengalaman di sebalik kekhilapan itu. kau akan melihat dengan pengalaman bukan mematuhi hala rasa yang merugikan selepasnya. kau berada di atas segala faham yang tidak pernah terbongkar. walaupun kau mencarinya, bertanya dalam diam atau berfikir dalam sapa. kau menerimanya tanpa jelas. kau meraba-raba dalam rimba kekhilapan yang tidak dipinta sengaja disedari. gembirakanlah hatimu apabila kau memejamkan mata, tafakur memandang keajaiban peristiwa di sebalik makna perbuatan masa lalu yang menjadi cahaya pedoman perjalanan kemudian.
Gemilang Muhasabah
jika kau bahagia gembirakanlah hatimu kerana bahagia yang hakiki adalah anugerah Ilahi yang tidak pernah kau ceritakan. kau merasa bahagia apabila rahsia semakin berada di dasar dalam kalbumu yang tersimpan gemilang muhasabah. kau merasa bahagia apabila kedukaan menjadikan kematangan kian dewasa meneguhkan akar rasa. kau berusaha menjadi kuat dengan dukungan kebahagiaan. gembirakanlah hatimu saat air mata menghantar percakapan dalam yang tidak diungkapkan.
Celaru
Uzlah
jika kau memilih diam gembirakanlah hatimu, kerana diam itu uzlah. kau telah kembali kepada diri dan peribadi. kau akan menemukan akar dan punca segala perkara. kau telah merenung jauh ke dalam dan bertemu kegelapan yang akan tersingkap terang cahaya. kau tidak akan kembali memandang belakang kerana sejarah tidak akan berulang. kau akan faham jika kau merasakan dunia ini hanya pentas yang sementara. gembirakanlah hatimu kerana hidup lebih membahagiakan sewaktu diammu memberimu jati diri yang sebenar.
Bait Terhujung
Hanya Dia
yang melihatmu ialah pandang
yang menyapamu ialah diam
yang mengingatmu ialah detik
yang memulangkanmu ialah uzlah
yang mengqiamkanmu ialah nur
yang menitikkanku hanya Dia.
Tiada Beza
setelah ada tak kupuas kerana luas batasnya
setelah bebas tak kulepas kerana erat siratnya
kalau dekat ibarat kukuku
kalau jauh ibarat erat urat ingat di kalbu
tiada atau ada tiada beza meski bebas
warasku tak membeku di hujung titikmu.
Duka Sasa
di horison masa, tidak juga memandang peristiwa
yang memberiku leka sepanjang liku, telah diturunkan
layar silam di dalam hijabNya menenggelamkan
apa sahaja tanpa tanda agar segar tegar
samudera pelayaran, negeri ini hanya sebuah perahu
bakal meninggalkan jambatan ke alam maha luas.
ada jawapan yang terhakis dalam gerimis
saat keberangkatan terjadi, duka menjadi sasa
meski cuma sia-sia.
Suara Kecil
Menyeberang Samudera
selepas merafakkan doa akhir dan awal tahun perahu hayat membenarkan pelayaran merentas batas hijrah, taburan mawar syukur menerawang aroma cinta, kucari bingkai cermin menyatukan kekaguman cinta, cahaya menyeberang samudera memandu pelayaran dalam harap yang berganda, cintaku kembali ke akar cahaya hijrah.
Gemeresik Bisik
kaca-kaca yang kutemui malam ini rupanya cermin yang pecah yang tak sanggup memandang diriku kepada titik sebuah perjalanan panjang. kukumpul kaca-kaca yang berkecai itu dalam resah yang tak terkata dalam derita menaakul citra yang tak tersibak hijabnya. kudengar gemersik bisik sesuatu yang datang menatang kekuatan yang enggan memautkan semula serpihan kaca hingga terungkap ucap silap yang disait-siat pedang hukuman malu memandang wajah yang didewasakan pengalaman. kuberteleku memahami citra di hadapan damai malam menyimpan kaca-kaca di dasar pandangan paling dalam.
Nipis Kikis
di angkasa terawang ketika memandang zarah-zarahkubersatu dalam makrifat kembali ke azali. nipis kikis musnah dalam keagungan cinta. apakah ada manis yang mengalir air susu untuk kuteguk? aku digoda dunia dosa yang memenjara. saat terputus suara mengungkap segala hasrat segera menyertai burung-burung di angkasa. apakah semua pelayaran damba hamba diterima, menghidu wangi dan menikmati manis firdausi? dalam awangan menuju keabadian tanpa rupa hanyawajah-wajah silam menanti di hadapan al-Hakam.
Titik Azali
Mengalir Manis
Terakar
menyembunyikan nafs. sirna aku dari kuku
yang terakar tegar menyimpan akrab. lebur
aku dari ada yang terakar redha merapi sunyi.
nazak aku dari nafas yang terakar kun menanti kun.
Kerana Matahari
Dalam Perhitungan
hancur aku dalam kesempurnaannya
beku aku dalam wap keindahannya
hilang aku dalam kebenaran janji-janjinya
musnah aku tiada apa-apa tanpa kekuatan
yang membantu kecuali ketika segala aku
menjawab tanpa campur tanganku
pertanyaan-pertanyaannya dan masa silam
yang telah lama dalam perhitungan.
Ajaibnya Banjir
Wajah
Kausar Mahabah
Sirna
suatu ketiadaan berlaku tetapi cahaya
telah menyembunyikan keadaan itu kau
tetap memandangnya dengan jelas selepas
bebas dari alam butamu.
Perbualan Sunyi
malam ini terjadi kunjungan di bawah langit tanpa warna. di perut malam di hadapanku sebuah pandangan yang kecil. perjalanan ini sebuah segara tanpa hujung, biarlah malam terus tenggelam berulang datang akur pada putaran masa.
masa silam juga tak henti terjadi bagai sebuah lukisan yang belum selesai. warna menjelma mengikut gerak berus dan sebuah naluri. pandangan kecil tentang malam sering mengungkap angan yang singgah, sebuah perbualan sunyi yang mengakrabkan masa-masa silam. malam ini kutemui sukamu di dalam kamar yang damai.
Di Mata Pedang
Detik Sebuah Sajak
Ainul Haq
Lipatan Bungkam
Hanya Sebutir Debu
Di Pantai Uji
Pedang
kalau sekali ini kau tertusuk pedang
apakah khabar ini tersebar lagi di angkasa
dan memberitahumu sebuah nestapa menyerupai
detak insaf yang tergema di anjung hijrah.
Tak Tinggal Rupa
Berapung
Waktu
waktu menyudahkan wangi yang datang setiap langkah yang terhenti memandang keberangkatan yang berbeza dalam makna sendu yang pilu dalam enggan yang terpaksa dalam jadi yang dibangunkan pada jam selepas malam mengejutkan kehadiran makna masa silam
waktu melepaskan segalanya melupakan air mata atau tawa paling ria mendekap ungkap yang harus lengkap disempurnakan pengalaman dalam santun atau api yang menepi mimpi-mimpi yang menyepi pilihan menenggelamkan hakiki membenamkan insani
waktu membenarkan pengertian lakaran yang kian hampir mendatang menjadi siapa lagi dalam ketaksamaan yang sama seperti semalam dengan warna wajah yang akhirnya berjalan lagi mengulangi lagi perbualan, menunjangi pengertian dalam lingkar akar peri diri.
Sesat
di tengah simpulan persetiaan mabuk
mengumpul segala mahu dan nafsu
membuai mimpi lama dan mengharapkan titik
itu jahitan persetiaan palsu yang pergi
selepas dicatatkan lukamu di buku kiri
nista memamah nafas
terpenjara dalam rumah nafsu
yang membahang.
Mungkinkah Kerana Kesilapan
Daun
menzahir sesuatu yang ada
dalam suatu keagungan
bayu sentiasa bersahabat
membawanya ke bawah
bila tiba waktunya
ziarah
dan penyatuan diri.
Yang
menyimpan rahsia peristiwa tatkala kutergelincir
yang meletakkan kedudukanmu ialah nikmat manis
saat membebat retak wangi anugerahNya tapi aku
tenggelam dalam gemilang tenang
yang menyelamatkan pohon masih juga keakraban musim apabila pohon lebih faham tentang arah langit tetap saja runduk subur mengucap syukur tapi aku kembali ke daerah asal melerai sesal di hadapan cermin batin.
Salam Tak Berjawab
15 Mei 2008
Kunkunci Nyata
Menoktahkan Titik
Salasilah
Wirid
[Sinar Sirna, 2006]
Muraqabah
Maw’izhatl Hasanah
bersarang kufur dan syirik berendam dalam aliran darah dan denyut nadi sedetik sakit! sedetik sakit! dukalah itu yang lepas dari alpa
hilanglah duka itu pada maw’izhah tulen dan agung kalamullah al-Quran ada cahaya petunjuk jalan yang sukar dan benar - sukar dari segala yang sukar atau benar dari semua yang benar
Wajah di Cermin
[Menginai Badai, 2004]
Cermin
itu yang saudara pandang pada saat-saat cemas menatang wajah yang dikerdutkan waktu, itu yang saudara jeling setiap detik ingin mencapai tingkat kecantikan antik, saudara kejar dan daki selagi nafas masih wajar menggetarkan nafas kulit, nafas lirikan mata dan nafas keinginan yang satu: dunia anggun
itu yang saudara lihat hari-hari yang dihadiri masih ada ruang walaupun sempit, suatu waktu saudara tersepit oleh waktu, namun masih ada tempatnya menjelirkan jelingan, mengimbas bibir, hidung, rambut, dahi bahkan segala yang ada di wajah mencermini kehidupan terarah
cermin itu ada pada dirimu tapi saudara tidak akan melihatnya jika tidak merasakan kehadiran hati setiap waktu saudara menjeling-jeling pada cermin, saudara tidak bisa menjeling-jeling ke dalam cermin di dalam diri. pernahkah saudara mencermin kalbu atau kalbu menjeling ke arah dirinya, atau iman mencermini kejatian imannya, atau keinsafan memantulkan wajah keinsafan itu dan memancar dan menjalar ke seluruh saraf diri lalu terimbas pada cermin, akhirnya melihat diri saudara di dalam dua cermin dalam satu kewujudan!
Menanti Sapaan Pertama
tanpa merasai detik bius telah menikmati
deriamu? kini jangan biarkan riwayat masa
dibekukan pandangan suatu duka dan sengsara
ketika masih di atas pembaringan itu kau koma
hanya menanti sapaan pertama mereka.
Ain di dalam Nur
cuaca rindu mengalir salju di seluruh tubuh tak terhenti jika akhirnya kauselak jendela mimpi tak ada sesiapa selain nazim yang berbisik di dalammu. dengarkan senyap sayap menjelajahi ruang raung yang kaudengarkan si tuli di perbukitan itu. Dia adalah dia tak menjadi kau yang mendengar dengarmu, kaudengarkah dengarku
seperti pandangku di dalam pandangmu
tidak di mataku?
di dalam nur di perbukitan nur ‘ain menyelinap.
[Sinar Sirna, 2006]
Tak Kukuh
kian berbalam dijaring cahaya
bagai dugaan enggan menamatkan
gigitan halusnya
seakan menelan segala kekuatan;
aku tak kukuh digoyah peribadi
yang sesekali hilang punca
bersuara di ufuk bungkam
renta rontaku tatkala sirna
demikian rapat;
aku tak kukuh menelaah
kitab qasidah rahsia
kerana yang belum tiba
adalah izin-Nya
belum terkuak di langit kalbu.
Mula yang Berhenti
Kelmarin yang Hidup
mencari sayapku di gua malam
kunang-kunang sudah pulang
tanpa jejak yang kutunggu
cahaya malam telah memerangkap
cahaya si buta pilu
ingatan mengalir dalam diam
bagai detak nadi dan udara
menemukan rahsianya di awangan
mentafsir peristiwa yang tidak kelihatan
tentang kelmarin yang tiba-tiba berlalu
hari ini juga tidak abadi
menjadikan peristiwa yang sama
meski pengalaman berbeza
dan usia adalah kelmarin yang hidup.
[Dewan Sastera, Jun 2007]
Sepuluh Muharam
Memandang Indah
Mencari Degup Bunyi
Harum Rindu
hangat menakluk dingin
semarak gerak batin
mengikat kalbu mengimani rindu
ini mula kumembuka rahman
yang kubaca saban malam
resah yang belum selesai
impian yang belum usai,
memelihara nafasmu
taman ayu mengharum
segera kupulang ke ruang
menghafal ajaran kebenaran
berlabuh memintal suluh
cahaya yang agung
direstu Yang Maha Agung,
pertahankan nafasmu
harum ini benih hayat
warna-warni musim bunga
memberi jelita ikhlas
telus bicara menyulam waras
menobat rahsia
pasrah memintal pinta
abadi harummu,
Kekasih!
Antara Dua Garisan Sajak
waktu yang lain di atas kau tetap di bawah
sering pusing
waktu yang lain di dalam kau tetap saja di luar
kebiasaanmu biasa
tetapi biasamu tetap juga sisa-sisa putus asa.
Lebur dalam KerahsiaanNya
yang rahsia dan kau memelihara keakraban
itu. meski mungkin sunyi menghargai persapaan
diam. betapa segala rahsia menyalurkan pelayaran
rasa dan musim yang berganti silih
sambil masih di situ bagai tak pernah terjadi
pengalaman malam tidak menjelma. kaulah jelita
yang semakin yakin membawa perjalanan lebih
sempurna lebur dalam kerahsiaannya.
Nazak
Bermula Tanpa Akhir
kudengar santun sapaan insan
yang biasa kudengar
tatkala perjalanan semakin panjang
tanpa kenal warna selesai
hanya ungkapan persahabatan
ikatan kenangan yang bernafas
dalam kalbu lebur abadi
kujejaki suatu perjalanan lain
yang mendekati belantara di musimnya
ketika memandang hijau pohon
dan sungai mengalir
kubawa segala kecuali sejarah
yang tidak berulang.
(Dedikasi kepada staf Pejabat Daerah Kecil Debak, Betong, Sarawak
semasa Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak Mei 2006)
Burung yang Bersahabat
kepada pintu cuaca
yang diarak awan
angkasa bersayap memeluk
setiap sirna kunang-kunang
jangan silap ketika bersua
sekali nanti
aku burung yang bersahabat
dengan gunung-ganang
gua dan puteri-puteri mereka
mimpiku keranamu telah terhukum
membiarkan lautan tiada gelora
dan bulan tidak lagi memahami
dataran itu bumi.
jalan-jalan telah terbelah
menanti halkum rimbunan suara
dan seluruh buana
tergamam terhadap rahsia
sebenarnya telah diceritakan.
Memelihara yang Kecil
mengecilkan yang besar
sering mungkin
memilih jalan yang sukar
biarlah, kata bapa,
kecilkan saja yang besar
daripada membesarkan yang kecil
lebih munasabah kerana menyimpannya
kerana kau telah memelihara
wangi dosa yang menjadi aroma
orang-orang yang menggemarinya.
Mengolah Kebesaran
tanpa titik asalkan akarmu tetap berbaja ikhlas
isi yang tegar bukan kulit yang dihias warna emas:
katamu ketika awan bergerak di hadapan rumah
orang-orang pada angguk sambil membiarkan
awan yang mulai gelap itu berlalu
tidak menangguhkan perbualan yang tak habis
katamu, olahlah pengalaman di dasar kebaikan
berpaksi nawaitu jitu bersumber akar cahaya kalbu
memancarkan segala kebaikan untuk memandu
bukan lakaran mulia di permukaan melulu
orang-orang juga masih pada angguk mendengar
hujan mulai bertanda dan gugur di mata
menjadi air yang mengalir di akar fikir.
Raudah Hijrah
hijrah kali ini tidak mengunci titikku.
Menghamili Rahsia
langka langkah tidak pernah beza
kerana tetap saja basah
lumrah dan fitrah
ada waktu bulan sembunyi
sedang lautan terus gelora dalam alun sunyinya
suatu yang aneh memberi tafsir dan tamsil
membawa ke dalam vakum fikir lebih mendasar
bagai segara atau langit dan sebuah alam
menghamili rahsia
takkan selesai selagi merasai hembusan rasa
sentiasa tega melihat bulan, menerima sapaan laut
menyambut salam kunjungan
yang tidak pernah pamit
walau sekelumit.
Syauq Maha Puncak
menebar usrah antara fikrah Nur Agung
telaah sejarah para Nabi
agar kembara merafak sama
doa syauq yang maha puncak.
Tertumpu Nafs Mutmainnah
di anjung sutera malam-malam syahdu
beralun zikir menyuluh liku
sebelum tiba di pelantar manzil munajah
segar rahsia azali mendakap carian
seorang abid
sedar fakirnya di tengah bumi
dan fana di depan titik nafas
menyemai segala kerelaan redha
agar segar malam-malam
tidak berulang kusam
malah putih wangi firdausi
diinai gemersik bisik suara
tertumpu nafs mutmainnah.
Titik Aku di bawah Titik Maha BesarNya
telah kau tangkap. tak ada awan tak diam
bertasbih. gelombang berakar jauh pun tidak
mampu menangkapnya. melainkan sedikit
bukan luas terbentangnya lautan. kau bagai
badai tapi tidak juga seagung badaiNya
melumatkanku hingga luluh, lebur. bahkan
lautan juga tunduk sebagaimana badai
tidak terangkat maha segala mahaNya.
hanya titik aku di bawah titik mahabesarNya.
kau juga titik di atasku dan tidak juga terangkat
betapa ketiadaan dalam keAdaan hadirNya.
(Dewan Sastera, Februari 2008)
Kitab Sehabis Peristiwa
di dalam cahaya yang telah tunas
akar-akarnya tanpa batas
bagai mengangkat semua derita
tak ada yang ditinggalkan
hanyalah peristiwa. apakah ada
kitab yang sempurna merakamkannya
dibaca semula segala detik itu
dan menunggu sesuatu yang belum selesai?
ada di sini, kata sahabat yang tidak kelihatan
berada lama di sisi. tak ada detik bersembunyi
meski pintu rahsia menyimpan peristiwa
tak terbongkar. semuanya tercatat indah
dan diceritakan semula di yaumil akhir
saat itu tak kedengaran suara dari halkum
apa sahaja rinci disampaikan
anggota tubuh yang telah lama diam itu.
Sukma Malam
ini, tak ada garis mengulang ungkap
menyampaikan rahsia yang Engkau
ketahui; terlalu saujana kurnia ini, ya Rabb,
hingga akalku hanya memiliki rasa syukur
dan insaf. Engkau pemilik alam, kebesaran
yang memberi suluh liku payah perjalanan
ke ujana muttaqin, tak ada lagi kurnia
selebar maghfirah, barakah dan fitrah
terpancarnya nur harapan dalam segara doa
merafak keampunan-Mu, ya Zul-Jalaaliwal Ikram.
Berhenti di Cakerawala
tidak diharap berhenti. ingat yang tiada henti dalam gelombangnya.
tak mungkin libasan sayap
jelita diterokai berhenti. sunyi di perhentian tertumpu
pada titik yang diam bungkam tereram
hanya setitis gerimis jatuh di dahi
menghentikan sunyi. hanya tiada berharap
terhenti mendengar dentang jam dan degup hidup.
tunggu! apakah anda kupu-kupu
yang pernah terbang di cakerawala kembara jelitaku?
Takkan Titik
gelora tinta yang menulis aksara peribadi
takkan kembali datang ke rumah sukma yang karam
kusedari hanyut dalam gelombang bimbang
tik tok bunyi waktu yang tak henti berlalu
tak sempat mengira bilangan dan angka
dibuai nada dan lagu digemakan ke ruang
yang semakin temaram dik jejaring kebisuan
hening yang kian rawan dan mengucapkan pemergian
titik takkan terjadi
semakin terbina dan menebarkan impian
dirawat riwayat hayat yang disimpul hebat.
14 Mei 2008
Menjelang Keberangkatan
-Ninda Hajah Kamsinah Dulkaseh (1922-2007)
usia pun berlalu melewati masa lalu, membilangnya saat sampai di atas titik kun fayakun dalam diam, halkum berat menggulung rahsia, tak terdaya menahan kedatangan desir menjemput dan menutup hidup. esakan di kalbuku ialah cermin yang tidak kelihatan tanda kehilangan amat dirasa; tiada dakapan wangi, tiada ucap peristiwa lama, tiada sapa biasa mengingatkan alpa anak cucu, dipandang cuma sayang dan jernih wajah kembang di anjung kalbu, takkan hilang menjelang keberangkatanmu.
Percakapan Tentang Debu
Akar Cahaya
dari hujung pandang ke dalam pandang yang rendah
sebelum tiba ke dasar pandang
teratas…
apakah
yang dipelajari daripada pandang? Misalnya ketika memilih warna;
bagaimana warna belum dapat menenggelamkan buta
meletakkan nilai makna warna dengan seutuh sempurna
di atas pandang telus ke medan cahaya
walaupun singgah di pelabuhan pandang jauh
mentafsir citarasa cemerlang
masih tak sampai jua menilai nikmat itu
masih tak mampu menjana makna hikmah itu;
selesaikah di sini? ayin kalbu:
pandang rupanya harus tertumpu
hanya pada satu
nikmat itu padu di situ
utuh mengasuh butaku
demikian cahaya berada
dalam lapisan-lapisan akar yang jauh
di sana…
[Akar Cahaya, 1997]
Getar Penyair
tidak tentu arah sedangkan mereka memperkatakan sesuatu
yang tidak mereka lakukan...
- Asy Syu’ara: 225
(i)
gemuruh luruh lesu di sisi diksi puisi-puisi
saru menggocah rentak jejak penyair di bibir
mensaksikan sempadan kemanusiaan menyisir sangsi
ini silau cermin batini
di sela-sela akar kelikir
(ii)
ketika menunggu reda resah batini
di hujung silau kasmaranmu
para penyair taksub menjelmakan diksi samar
menyeberangkan kepalsuan diri
ke dalam irama lirik
bahasa lenggang songsang
menanggalkan kebesaran sebati
berdiksi aroma Illahi
bermuzika metafizika al-farabi
bergetar menggelincir ke gaung sesat naluri
ya Rabbi!
Penyair, kelibat mamangmu sungguh-sungguh
tiada rela undur menuipi takabbur!
[Akar Cahaya, 1997]
Ummu Jamil
keangkuhanku berbanding
harga kalung ini sewaktu
seluruh keluarga nabi
habis kuhiris-hiris
aku isteri bangsawan
memperbuat sesuatu yang lain
siapa berani menyiram geram
dengan air busuk
melukakan kaki nabi
dengan duri-duri di hadapan pintu?
aku si jelita saudara abu sufian
yang kurang sabar
memandang tersebar syiar Islam
yang digoncang angkuh ketika nama
dan suamiku abu lahab dijanji Tuhan
dengan api yang buas
“di manakah Muhammad?”
“di manakah Muhammad?”
“di manakah Muhammad?”
“aku tidak melihatnya, di manakah dia?
Akan kucincang-cincang tubuhnya!”
(ummi jamil tidak menyedari
nabi dilindungi malaikat dari pandangannya
ketika itu!)
Merpati
merpati yang liar
dan labah-labah datang dari langit
tidak siapa tahu
kerana sarang dan jaring
memberi ruang kepada sesuatu yang diburu
meyakini tiada nafas berhembus di situ
oleh pertolongan Tuhan
kau tak jadi menggaru betismu
wahai ahli-ahli kufar!
Pintu
tidak pernah kau melihatnya
dengan padang nyata tapi merasai
ada cinta yang mengalir tanpa debur
sunyi damai tapi mendekam simfoni
hingga tak tercapai akal, di manakah dasarnya?
ada tanya yang bernafas dalam waras
ada cari yang menjalar di belukar samar
kembali ke pintu diri memusatkan tamsil dan tafsir
samar berbebat waras
masuklah dan biarkan pintu itu
menerima saksi perjalanan.
Ramlie di Mana Kini
erti air mata, masih kucari rasanya
rahsia yang mendekam dalam
fahami arah cari, di mana kini
sahabat yang pamit, kembara jauh
yang hanya didengar bisik gemersik
sajak sajak yang bermukim
di dasar rindu
yang abadi
yang tersimpan
di kalbu rakan-rakan
anak-anak dan seorang perempuan
ramlie, di mana kini
saat ingat menyatu dan santai
mengungkap sikap yang panjang
di hujung kata-kata
di puncak suara yang geloranya
bertemu di ainul kalbu
ramlie, di mana kini
perjalananmu yang beda
jernihmu di alam sana
putihmu di ziarah cinta
sambil ingatan tinggal di sini
ramlie, di manakah kini?
5 Ogos 2005.
Kesan Terhadap Ziarah
merakam sunyi menelaah
subjek diri yang dihafalnya
menunggu cikgu menyoal
aku juga seperti seorang
yang kosong di mana harus menuju
selepas cikgu mengajar ilmu
dari yang satu,
menoleh ke belakang
mungkin sesalan
di hadapan cermin
menanyakan persoalan
sesekali rimas dalam gerimis senja
tapi kelam bahasa sunyi
mengakrabi.
Pada Titik
hanya titikku yang tak pernah bermakna
seperti mereka fahami
hanya dia yang menetapkan restu
yang menghantar khabar benar
sentiasa kutunggu. barangkali
tidak mudah memadamkan titik
di hujung kitab itu kerana bukan hilang
dibiarkan berlaku sambil perjalanan
amat dirasai geloranya
meski ketika diam mentelaah bau
kehidupan. harum yang akrab
atau siksa yang memenjara
membawa musim ranum telah
tidak seperti masa silam. pada titiklah
kewajaran ditemui dalam redha
dan pasrah pada titiklah berteleku
muhasabah menekuni diri yang ingkar
degil zalim. pada titiklah kumula keluar
dari pintu masa lalu dan terbang
dengan libasan sayap jelitaku.mendengar
titikan jernih gugur dan calar degup nadi
tertumpu dalam titik yang kutandakan
pada kitab sehabis peristiwa.
[Dewan Sastera, Disember 2006]
Nur
memelihara tamsil pandang
di ujana kalbu yang sentiasa juga
menemukan indah nafs-mutmainnah
turun memahkotai damai
mengiring perisai iman
dalam khusyuk yakin
suburmu yang mengabadi lebur
memanjatkan rasa syukur
yang tak pernah siap
menyatakan harap.
[Sinar Sirna, 2006]
Menangkap Sayap Jelita
memandang semula di mana kuberada
bagai tak tertangkap apa yang harus
ada bersama. hanya kegembiraan,
tawa dan rajuk juga tangis orang-orang
yang kusayang. tawaku, tangisku, gembira
dan fikiranku entah bagaimana
dapat disimpan selain rahsia dalam makna
kata-kata bersemi di kalbu. batinku kembara
bersama jelita sayap tak siapa dapat menangkapnya
selain diriku.
Titik di Kalbu Nazim
dan terbang di alam penuh peristiwa
hanya kau jua melakar stanza masa mendatang
tanpa membiar masa kemarin berada
di angkasa tak berjejak
hanya benar yang meriwayati wujud perjalanan
tak pernah bermakna habis atau kikis
hanya mawadah di sayap mahabbah jelita
hinggap dalam kalbu
jangan tunjukkan titik kepada sesiapa
yang hanya tahu ketiadaan daripada ke'ada'an
dalam titik itu dunia abadi yang lebur
mengalir ke saujana alam makna.
Wahai Hati yang Tenang
wahai hati yang berjalan di angkasa bungkam
wahai hati yang dicakarcakar ziarah kusam
wahai hati yang bergaul dalam bauran molekul alam
wahai hati yang membeku pada darjah
selsius yang teratas
wahai hati yang terimbang graviti
matahari menarik ke dalam zatNya
wahai hati yang berada dalam
cengkerang kerang di dasar lautan jauh
dibawa arus dasar demi dasar
yang tak terjangkau
wahai hati yang kembali memandang kendiri
di atas ayunan masa
melihat tiras rendah tinggi
mendapatkan makna
selamanya tergantung kepada
sesuatu yang telah wujud
wahai hati yang telah tenang.
Bangga Seorang Dalam
saat kau pulang jangan khabarkan lagi pembohongan yang dibenarkan itu. keyakinan bukan kamar yang dihuni kerana kamar hanyalah dunia sementara yang berubah tapi keyakinan hidup selagi benar menjadi jalan lurus dan kau temui kemenangannya.
Jika Kudiberikan Sinar
jika kudiberikan taman semadiku biarlah harum yang abadi
pandanglah saujana ini di puncak hasanah tanpa lafaz,
jika ku diberikan makna bahasaku biarlah santun yang sunyi
pulanglah segalanya kepada pengabadian tanpa sesal
waktu riadah bermuhasabah perjalanan menangkap segala silap,
jika kudiberikan lagi kelewatan waktu
biarlah naiwaitu di jendela diri
menyambut lembut pengalaman merimbun embun
tak kumenjadi sisa masalalu,
jika kudiberikan peribadi biarlah lorong diri
dijaga cahaya akar yang membersit mensaujana sinar.
[Menginai Badai, DBP 2004]
Bayang-bayang
tapi bayang-bayang menjelma
di hadapan yang bermula
antara cahaya di belakangku
tak kelihatan sapa siapa
kudengar wajah itu menyatakan
diamnya berirama melukiskan visual
sesal yang maha kekal
ke mana jua arah dan gerak
seakan memimpin longlai akal
yang disembunyikan dosa.
Mentafsir yang Baik
jernihkan keruh akal
saring dangkal amal
lerai fikir di cumbuan rindu
cermin wajah ke lahad kalbu
pulangkan hakikat diri
menjadi sendiri
mengakrabi sepi
mentafsir yang baik
meski di dalamnya bermuara jijik.
13 Mei 2008
Kenangan Itu Biar Hidup
tetapi jangan biarkan kenangan menjadi air laut
yang merubah pantai sesekali, sesekali datang
dan kembalinya membawa sesuatu yang sama - mengulang-ulangkan peristiwa dan cerita. biarkan kenangan itu hidup dalam dunianya kerana hari-hari yang kemudian ini akan ada kenangan-kenangan baru yang akan diperkatakan
semalam adalah sesuatu yang begitu dan begini menjadikan ingatan sesekali datang
dan dipanggil ke danau peristiwa atau lembah dukalara
sering juga berulang tanya di punca puncakmu segalanya indah. kenangan itu biar hidup tetapi berada di dalamnya suatu penerimaan yang sentiasa
tidak diperkuda angan dan igau masa lalu. kenangan itu biarlah menjadi dinding bukan pintu dan jendela yang sering keliru dilewati sisa-sisa peristiwa yang sia-sia.
Kembali ke Lahad Rahsia
kadang tidak sempat menyibak masa lalu bila angan sengaja
memberi duka dan air mata. kucari makna impian tapi di manakah
sayap jelita mahu membawanya kerana syurga hanya menjanji
perjalanan tanpa liku. Itukah cermin yang mencairkan carian pandang
sebuah perjalanan? suaraku kembali di lahad rahsia yang bungkam
gumam menikmati rahsia-Mu.
Telah Abadi Kenangan
menjadi riwayat peristiwa berulang dan berulang detik
demi detik menyatukan gumam yang tersaring di halkum
tanpa bunyi yang memberi erti
saat diberitahu keberangkatan terjadi juga
kau hanya mengetahui erti duka memandang jeritan sukma
bersahut di celah danau rahsia rasa
sekelilingmu menjelmakan bayang-bayang angan
yang semakin tidak datang selain menunggu cuaca baru
menyingkap hijab menyembunyikan segala segara makna.
Sangkar
di dalam sangkar, belajar mengenal diri
- kehidupan di sini telah membangun minda.
barangkali ada batas yang menggalang percakapan
seperti ini
mari keluar dari dunia bebas, buka minda,
buka segala pintu rumah yang mengurung gerakfikir
- benarkah begitu? kenyataannya, kehidupan di sini
lebih mesra.
Kias
[Menginai Badai, 2004]
Keagungan
[Sapaan Bonda, 2002]
Kenangan
dari keliling masalalu kini menjadi gelombang
yang menenggelamkan. tak ada sesiapa di sana.
kuharung arus menepis segala tragis, mengutip
serpih perih, mengumpul sarap harap. berenang
di dalam gelombang menjadi sasa mengharungnya.
belum juga pantai menyapa atau sesiapa di sana
hanya masalalu terus menyatu dari desir kecil.
gelombang semakin besar menjadi dunia
yang menakluk. sambil riak-riak kecil barusan
tiba menjadi ombak dan menyatu memakna
rahsia-Nya
tanpa titik.
Detik ii
tumpah di halaman atas
ketika aku di bawah menggalas waras
itu emas angka yang mengalir cair
ke seluruh rerongga hayat
tunas-tunas mawar mengakar
merenjis wangi bunyi yang semakin benar,
kudengar bingar
menemukan persahabatan waktu
menterjemah calar balar sabar
rutin memahami kebiasaan yang lumrah
adunan jelita mengelus kalbu
ayu bahasa biasa menidur subur malu
usia
tidak menjadi angka yang kukata
makna senja yang biasa memberi baunya
atau ranum yang belum tiba di puncak rahsia
tiba di kamar jelita
menanti sayap-sayap memulakan
gerak geraknya.
Detik i
iramaku menyampaikan
makna suatu sunyi tanpa siapa
kecuali alam menemukan aroma
yang telah jauh berada di kalbu
tak kelihatan sekian lama
diamnya dalam halkum yang menyapa
dan kedengaran
cinta kehadiran yang benar
menunggu sebuah sunyi
menatap riwayat
telah pergi detik itu
dan suara yang datang dari dalam
tak juga kelihatan
perlahan kukunci detik yang lalu
hanya cahaya menghantar
jalur warna dan aromanya
di pintu.
Usia: Kutemuimu dalam Lebur Mawaddahku
kudengar sapaan biasa selamat tinggal sahabat
yang dondangnya kehidupan membawa waktu-waktu lalu
di sisiku coretan yang harus dimaknakan
bagaikan perjalanan pertama zaman yang berulang
jelinglah kartu yang kukirim dalam pengatara bahasa biasa
lumrahnya bagai tulisan dan bacaan di diari yang menjelma
akurku menjulang di puncak yang mengasak degil insan
memilih yang terdaya memeliharanya mengembalikan
riuh di rimba mahabbah, kutemuimu dalam lebur mawaddahku
kuterima seadanya khabar dan berjuang di lembah yakin
sahabat yang berhimpun di hujung tahun
[Menginai Badai, 2004]
Pernahkah Kau Menangis
apabila malam beringsut tiba
pernahkah kau menangis
ketika terdengar derap senja
semakin menjelma dan gumam
pernahkah kau menangis
saat terbuka saja pintu
dan hanya sunyi menyapa
ke dalamnya
pernahkah mau menangis
waktu membilang usia yang berbaki
dan tidak lagi angka tetapi gelisah
menangislah kau ketika disebut
nama Tuhan
yang menjadikan
yang memelihara
yang mengubah
yang menghilangkan
kerana kau terlalu lama ketawa.
Berjalan ke Arah Cahaya
seperti benang menarik alpaku
sepantas kilat
bangun ini tak kupandang apa
bahasa yang harus bersuara
terpegun
merasa sentuhan bertandang.
[Sinar Sirna, 2006]
Lebur yang Abadi
dan kutemui perjalanan
fanaku mengkabus
menjadi haus yang rindu
menebar ke seluruh alamku
di alamMu
menyatu wajah-wajah haru
di pangkal waras akal yang malu
dan di rumahku ini
hanya memahami lebur yang abadi.
[Sinar Sirna, 2006]
Prakata
DENGAN penuh rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala dan rasa rendah diri saya persembahkan koleksi puisi ‘Lebur yang Abadi’ ini buat tatapan para pembaca. Memang benar bahawa tanpa wujud anjakan serta nawaitu yang sungguh-sungguh, sesuatu yang diimpikan tidak mungkin menjadi kenyataan. Saya dengan sengaja menggabungkan sejumlah 114 buah puisi daripada sejumlah besar puisi-puisi yang saya tulis untuk bacaan penggemar sastera Melayu. Permintaan saya tidak besar, jestru agar persiapan saya menulis puisi-puisi kerohanian ini berhasil menjadi tatapan penggemar sambil menerimanya dengan baik.
Saya sentiasa belajar daripada pengalaman masalalu dan malah pengalaman yang bakal tiba. Daripada kritikan kedua orang tua yang amat saya sayangi tentang kehidupan ini, terus belajar daripada itu dan juga panduan oleh para guru saya sama ada dalam bentuk akademik mahupun langsung kepada bakat penulisan yang saya punyai. Begitu juga para sahabat handai yang dekat, mengakrabi kehidupan mereka. Saya sering membaca tanda-tanda sebuah kehidupan yang saya alami dan saya percaya pengalaman itu dialami juga oleh orang lain. Pengalaman yang sama tapi tidak serupa ini barangkali boleh dikongsikan nikmat dan hikmahnya. Bezanya tentu sahaja kerana saya bercerita melalui puisi yang langgamnya bersifat peribadi, namun ada juga yang memerlukan jangkauan lebih mendalam dan memerlukan bacaan lebih lanjut.
Puisi harus sentiasa hidup dalam kehidupan. Setiap detik dan hari ada bicara bungkam yang lahir dalam kehidupan. Pelayaran hidup yang diragami suka dan duka disertai hiruk pikuk peristiwa sentiasa memberikan makna yang istimewa. Dengan bersederhana dalam kehidupan, beruzlah dan menqiami diam yang bermakna, menziarahi kedamaian yang dicari, membesarkan sebuah cinta Maha Agung, bermujahadah dan bermuhasabah menjadikan kita pasrah, patuh, tunduk, sedar betapa kerdilnya kita di sisi Yang Maha Esa. Meski ia bersifat fitrah dan lumrah bagi insan yang beriman, tetapi kepada insan lain pengalaman batin seperti ini memberi kias serta panduan yang terbaik untuk mentarbiah diri agar menjadi insan yang kamil. Kerana itu juga koleksi puisi ‘Lebur yang Abadi’ ini mengajak pembaca merenung dan menilai keberadaan seorang hamba dalam kehidupannya.
Akhirnya, saya ingin memberikan rasa penghargaan kepada guru-guru saya sama ada secara formal mahu pun tidak formal seperti ayahanda Dato’ Kemala, Haji Johar Buang, Haji Mohd Ariffin Arif dan Suhaimi Haji Muhammad yang sering saya jadikan idola dalam menzahirkan puisi-puisi kerohanian.
HASYUDA ABADI
8 Rabiulawal 1429H
Mengenal Penyair
HASYUDA ABADI atau nama sebenarnya Sukor bin Haji Usin, anak kedua Haji Usin Ripan dan Hajah Subiah Sidek, lahir di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah. Ayahnya berasal daripada suku kaum Murut dari daerah Tenom, Sabah (Haji Usin dipelihara oleh datuk sebelah ibu berbangsa Banjar dan nenek dari keturunan Dusun). Ibu Hasyuda dari suku Jawa, berasal dari daerah Beaufort. Sebab itu Hasyuda sering menggelar sukunya sebagai Murja (gabungan Murut dan Jawa). Saudara-saudara Hasyuda terdiri daripada seorang abang (meninggal sejurus lahir) dan lima orang adik terdiri daripada seorang lelaki dan empat orang perempuan (Hassimah, Hamidah, Rosly, Melati dan Melor). Latar awal kehidupan seninya: Hasyuda tidak asing dengan dunia seni kerana masa kecil sering didedahkan dengan aktiviti berkaitan seni persembahan seperti bangsawan, sandiwara dan pertunjukan kugiran di tempat kelahirannya. Penggiat seni ketika itu terdiri daripada para guru yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Lumadan dan pekerja ladang getah. Setiap bulan diadakan persembahan seni dan pelbagai aktiviti yang diminati masyarakat ladang. Lumadan Estate (kini Ladang Sawit Lumadan, getah diganti dengan penanaman sawit) memang amat terkenal dengan aktiviti seni dan kebudayaan di kalangan masyarakat estet-estet getah di Sabah. Ada sebuah panggung di ladang itu; di situlah Hasyuda pernah beraksi membaca sajak ketika dalam tahun tiga sekolah rendah (berusia sembilan tahun). Pernah bercita-cita menjadi guru tetapi tidak pernah bercita-cita menjadi penulis. Bakatnya tiba-tiba menyerlah ketika berhijrah ke Kota Kinabalu apabila mendapat tawaran kerja. Di Kota Kinabalu (1979), Hasyuda berkenalan dengan Hajah Zaiton Haji Ajamain, penulis dan pemimpin Kumpulan Anak Seni. Di sinilah semuanya bermula; daripada menjadi penari kepada penulis puisi yang komited.
AKTIVITI:Cenderung kepada penulisan puisi di samping cerpen, esei kritikan dan drama. Hasyuda antara penerima Hadiah Sastera Malaysia bagi genre puisi pada tahun 1985, Hadiah Sastera Perdana 2004/2005 dan Hadiah Sastera Sabah pada tahun 1989, 1991, 1998, 2000, 2002, 2004 dan 2007 bagi genre puisi dan cerpen. Hasyuda pernah mengikuti Program Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 1987 di bawah asuhan penyair Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Program Penulisan Majlis Bahasa dan Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Pusat Pengembangan Bahasa, Jakarta pada tahun 1997 di bawah pimpinan Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M dan Taufiq Ismail.
Di samping aktif sebagai penulis, Hasyuda juga pernah terlibat sebagai fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) Khidmat Negara di Sabah di bawah kelolaan DBP. Hasyuda memimpin Ikatan Penulis Sabah (IPS) di samping menjadi ahli Persatuan Penulis Nasional (PENA), mengetuai Kelab Maya Sastera Sabah (KEMSAS) dan merupakan Pengarah Urusan Institut Penilaian Sastera (INPES). Menjadi penceramah sastera KOMSAS dan penceramah program-program penulisan di sekolah.
Hasyuda berkhidmat dengan kerajaan Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah. Penyair ini juga menggunakan nama-nama pena lain dalam tulisan-tulisannya seperti Mirza Fansuri, Adi H. Abadi, Ardi Bayu, Tampurung Bubus dan Iqbal Nazim. Hasyuda ialah penerima darjah kebesaran Negeri Sabah 'Bintang Kinabalu' (B.K.) pada tahun 2006 dan daripada kerajaan Persekutuan Malaysia 'Pingat Pangkuan Negara (P.P.N)' daripada DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong pada tahun 2008. Hasyuda juga merupakan penerima Anugerah Penyair Islam Sabah bagi tahun 2008 daripada Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Sabah.
PRODUK SASTERA:Skrip drama pentas Hasyuda berjudul “Takungan Bayu” telah memenangi hadiah kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas anjuran DBP Cawangan Sabah pada tahun 1995. Pencapaian Hasyuda dalam bidang penulisan yang lain ialah Hadiah Penyajak Terbaik Berita Sabah (1997), Hadiah Tinta Sastera (1999 dan 2004) dan Hadiah Karya Sulung (2002). Hasyuda telah menghasilkan lebih 1,000 buah puisi, 40 buah cerpen, 35 buah esei sastera dan 5 buah skrip drama pentas. Puisi-puisi Hasyuda dimuatkan dalam kumpulan puisinya: ‘Balada Paduka Mat Salleh’ (1989), ‘Akar Cahaya’ (1997), ‘Datang Kembali’ (1997), 'Menginai Badai' (2004), 'Sirna Sirna' (2006) dan 'Kembali di Lahad Rahsia' (2008). Cerpen-cerpen Hasyuda juga dihimpunkan dalam Kumpulan Cerpen 'Sepasang Sayap Jelita' (2004). Sebuah buku himpunan pantun karya Hasyuda juga diusahakannya dalam 'Usul Mengenal Asal' (2007).
SENARAI PENERBITAN BUKU
Antologi Puisi Bersama (26)
Sematan (GPPS, Sarawak 1984)
Titian Rindu (DBP Sabah, 1987)
Kekasih (DBP Sabah/MUIS, 1987)
Perubahan (DBP, 1988)
Siapakah Antara Kita (DBP, 1988)
Ujana Laut Ujana Hati (DBP Sabah/MUIS, 1989)
Mengenang-Mu (DBP, 1989)
Nyanyi Dari Desa (BAHASA/ANAK SENI, 1990)
Perkasihan Musim (DBP Sarawak, 1992)
Luka Bosnia (BAHASA, 1992)
Al-Kahfi (DBP Sabah/MUIS, 1992)
Kiswah Rindu (DBP Sabah/MUIS,1993)
Nafas Utara Borneo (DBP Brunei, 1994)
Qiam (DBP Sabah/MUIS, 1995)
Kafilah (DBP/MUIS, 1996)
Mujaddid (DBP Sabah/MUIS, 1997)
Tasbih Rindu (DBP Sabah/MUIS, 1998)
Penyair, Alam dan Kemanusiaan (DBP, 2000)
Antologi Puisi Cyber: Graffiti Gratitude (Yayasan Multimedia Sastera, Bandung, Indonesia, 2001)
Sapaan Bonda (DBP Sabah/MUIS, 2002)
‘Iktikaf (DBP Sabah/MUIS, 2003)
Nyanyian Iman (DBP Sabah, 2004)
Nyanyian Pulau-Pulau (DBP Sarawak, 2004)
Antologi Puisi Sufi: Cinta Pohon Tamar (Jahabersa Johor Bahru, 2004)
Hadrah Cinta (DBP Sabah, 2005)
Manuskrip Luka Bangsa (PENA, 2006)
Pertelingkahan Magis (DBP Sabah, 2007)
Kumpulan Puisi Persendirian (7)
Balada Paduka Mat Salleh (DBP,1989)
Lebur yang Abadi (Iris P&D, 2008)