13 Mei 2008

Mengenal Penyair


(Dikemaskini sehingga 31 Julai 2008)

HASYUDA ABADI atau nama sebenarnya Sukor bin Haji Usin, anak kedua Haji Usin Ripan dan Hajah Subiah Sidek, lahir di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah. Ayahnya berasal daripada suku kaum Murut dari daerah Tenom, Sabah (Haji Usin dipelihara oleh datuk sebelah ibu berbangsa Banjar dan nenek dari keturunan Dusun). Ibu Hasyuda dari suku Jawa, berasal dari daerah Beaufort. Sebab itu Hasyuda sering menggelar sukunya sebagai Murja (gabungan Murut dan Jawa). Saudara-saudara Hasyuda terdiri daripada seorang abang (meninggal sejurus lahir) dan lima orang adik terdiri daripada seorang lelaki dan empat orang perempuan (Hassimah, Hamidah, Rosly, Melati dan Melor). Latar awal kehidupan seninya: Hasyuda tidak asing dengan dunia seni kerana masa kecil sering didedahkan dengan aktiviti berkaitan seni persembahan seperti bangsawan, sandiwara dan pertunjukan kugiran di tempat kelahirannya. Penggiat seni ketika itu terdiri daripada para guru yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Lumadan dan pekerja ladang getah. Setiap bulan diadakan persembahan seni dan pelbagai aktiviti yang diminati masyarakat ladang. Lumadan Estate (kini Ladang Sawit Lumadan, getah diganti dengan penanaman sawit) memang amat terkenal dengan aktiviti seni dan kebudayaan di kalangan masyarakat estet-estet getah di Sabah. Ada sebuah panggung di ladang itu; di situlah Hasyuda pernah beraksi membaca sajak ketika dalam tahun tiga sekolah rendah (berusia sembilan tahun). Pernah bercita-cita menjadi guru tetapi tidak pernah bercita-cita menjadi penulis. Bakatnya tiba-tiba menyerlah ketika berhijrah ke Kota Kinabalu apabila mendapat tawaran kerja. Di Kota Kinabalu (1979), Hasyuda berkenalan dengan Hajah Zaiton Haji Ajamain, penulis dan pemimpin Kumpulan Anak Seni. Di sinilah semuanya bermula; daripada menjadi penari kepada penulis puisi yang komited.

AKTIVITI:Cenderung kepada penulisan puisi di samping cerpen, esei kritikan dan drama. Hasyuda antara penerima Hadiah Sastera Malaysia bagi genre puisi pada tahun 1985, Hadiah Sastera Perdana 2004/2005 dan Hadiah Sastera Sabah pada tahun 1989, 1991, 1998, 2000, 2002, 2004 dan 2007 bagi genre puisi dan cerpen. Hasyuda pernah mengikuti Program Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 1987 di bawah asuhan penyair Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Program Penulisan Majlis Bahasa dan Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Pusat Pengembangan Bahasa, Jakarta pada tahun 1997 di bawah pimpinan Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M dan Taufiq Ismail.

Di samping aktif sebagai penulis, Hasyuda juga pernah terlibat sebagai fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) Khidmat Negara di Sabah di bawah kelolaan DBP. Hasyuda memimpin Ikatan Penulis Sabah (IPS) di samping menjadi ahli Persatuan Penulis Nasional (PENA), mengetuai Kelab Maya Sastera Sabah (KEMSAS) dan merupakan Pengarah Urusan Institut Penilaian Sastera (INPES). Menjadi penceramah sastera KOMSAS dan penceramah program-program penulisan di sekolah.

Hasyuda berkhidmat dengan kerajaan Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah. Penyair ini juga menggunakan nama-nama pena lain dalam tulisan-tulisannya seperti Mirza Fansuri, Adi H. Abadi, Ardi Bayu, Tampurung Bubus dan Iqbal Nazim. Hasyuda ialah penerima darjah kebesaran Negeri Sabah 'Bintang Kinabalu' (B.K.) pada tahun 2006 dan daripada kerajaan Persekutuan Malaysia 'Pingat Pangkuan Negara (P.P.N)' daripada DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong pada tahun 2008. Hasyuda juga merupakan penerima Anugerah Penyair Islam Sabah bagi tahun 2008 daripada Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Sabah.

PRODUK SASTERA:Skrip drama pentas Hasyuda berjudul “Takungan Bayu” telah memenangi hadiah kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas anjuran DBP Cawangan Sabah pada tahun 1995. Pencapaian Hasyuda dalam bidang penulisan yang lain ialah Hadiah Penyajak Terbaik Berita Sabah (1997), Hadiah Tinta Sastera (1999 dan 2004) dan Hadiah Karya Sulung (2002). Hasyuda telah menghasilkan lebih 1,000 buah puisi, 40 buah cerpen, 35 buah esei sastera dan 5 buah skrip drama pentas. Puisi-puisi Hasyuda dimuatkan dalam kumpulan puisinya: ‘Balada Paduka Mat Salleh’ (1989), ‘Akar Cahaya’ (1997), ‘Datang Kembali’ (1997), 'Menginai Badai' (2004), 'Sirna Sirna' (2006) dan 'Kembali di Lahad Rahsia' (2008). Cerpen-cerpen Hasyuda juga dihimpunkan dalam Kumpulan Cerpen 'Sepasang Sayap Jelita' (2004). Sebuah buku himpunan pantun karya Hasyuda juga diusahakannya dalam 'Usul Mengenal Asal' (2007).

SENARAI PENERBITAN BUKU

Antologi Puisi Bersama (26)
Sematan (GPPS, Sarawak 1984)
Titian Rindu (DBP Sabah, 1987)
Kekasih (DBP Sabah/MUIS, 1987)
Perubahan (DBP, 1988)
Siapakah Antara Kita (DBP, 1988)
Ujana Laut Ujana Hati (DBP Sabah/MUIS, 1989)
Mengenang-Mu (DBP, 1989)
Nyanyi Dari Desa (BAHASA/ANAK SENI, 1990)
Perkasihan Musim (DBP Sarawak, 1992)
Luka Bosnia (BAHASA, 1992)
Al-Kahfi (DBP Sabah/MUIS, 1992)
Kiswah Rindu (DBP Sabah/MUIS,1993)
Nafas Utara Borneo (DBP Brunei, 1994)
Qiam (DBP Sabah/MUIS, 1995)
Kafilah (DBP/MUIS, 1996)
Mujaddid (DBP Sabah/MUIS, 1997)
Tasbih Rindu (DBP Sabah/MUIS, 1998)
Penyair, Alam dan Kemanusiaan (DBP, 2000)
Antologi Puisi Cyber: Graffiti Gratitude (Yayasan Multimedia Sastera, Bandung, Indonesia, 2001)
Sapaan Bonda (DBP Sabah/MUIS, 2002)
‘Iktikaf (DBP Sabah/MUIS, 2003)
Nyanyian Iman (DBP Sabah, 2004)
Nyanyian Pulau-Pulau (DBP Sarawak, 2004)
Antologi Puisi Sufi: Cinta Pohon Tamar (Jahabersa Johor Bahru, 2004)
Hadrah Cinta (DBP Sabah, 2005)
Manuskrip Luka Bangsa (PENA, 2006)
Pertelingkahan Magis (DBP Sabah, 2007)

Kumpulan Puisi Persendirian (7)
Balada Paduka Mat Salleh (DBP,1989)
Akar Cahaya (IPS, 1997)

Datang Kembali (IPS, 1997)

Menginai Badai (DBP Sabah, 2004)

Sinar Sirna (DBP, 2006)
Lebur yang Abadi (Iris P&D, 2008)


Buku Kumpulan Pantun persendirian:

Usul Mengenal Asal (Iris P&D, 2007)


Kumpulan Cerpen Persendirian (1)

Sepasang Sayap Jelita (Inpes, 2004)


Antologi Cerpen Bersama (2)

Rantau Utara, (DBP Brunei, 1989)

Ibrah (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, 2003)


Antologi Skrip Drama Pentas (1)

Unduk Ngadau, (DBP, 2005)


Antologi Kertas Kerja (1)

Idealisme & Intelektualiti dalam Karya (PENA, 2005)